Monday, 12 March 2012

pastikan hubungan kita dengan Allah SWT sentiasa murni dan akrab lebih akrab dari diri kita sendiri. Wallahua'lam.





وَبَدَا لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مَا لَمۡ يَكُونُواْ يَحۡتَسِبُونَ
Yang lebih kurang maksudnya:
Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang dahulu tidak pernah mereka perkirakan.

Saya mulakan dengan sebahagian dari ayat 47 dari Surah Az-Zumar. Pernahkah terfikir oleh benak minda kita, bahawa segala usaha dan amalan kita akan menjadi seperti debuan yang tidak akan memberikan sebarang manfaat di akhirat kelak? Nauzubillah... mohon Allah menjauhkan kita dari rasa penyesalan yang tidak terperi ini apatah lagi, amalan selama di dunia amatlah sedikit jumlahnya...subhanallah.

Allah SWT berfirman:

لَّقَدۡ كُنتَ فِى غَفۡلَةٍ۬ مِّنۡ هَـٰذَا فَكَشَفۡنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلۡيَوۡمَ حَدِيدٌ۬

(Serta dikatakan kepadanya): Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat). Qaf (22)

Semoga Allah SWT palingkan wajah kita dari mencintai dunia, lindungi kita dari kelalaian yang memusnahkan akhirat kita kelak, amin.

Kali ini, sebelum saya meneruskan tentang penyebab naiknya iman seperti yang saya nyatakan dalam entri sebelum ini, ingin saya berkongsi tentang jenis-jenis amalan atau usaha yang akan menjadi seperti debu yang bertaburan tidak memberi manfaat pada pengamal atau pelakunya.


Yang pertama:

Amalan yang disangka baik oleh pelakunya, namun ia bertukar menjadi debu dan menjadi amalan buruk. Mereka berusaha bersungguh-sungguh di dunia dengan sangkaan yang apa yang dilakukan adalah amalan baik, namun hakikatnya di mata Allah SWT ianya adalah amalan jahat. Allah SWT berfirman:

وَٱلَّذِينَ ڪَفَرُوٓاْ أَعۡمَـٰلُهُمۡ كَسَرَابِۭ بِقِيعَةٍ۬ يَحۡسَبُهُ ٱلظَّمۡـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُ ۥ لَمۡ يَجِدۡهُ شَيۡـًٔ۬ا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥ فَوَفَّٮٰهُ حِسَابَهُ ۥ‌ۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya. An-Nur (39)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. Furqan (23)

Ilmu tanpa amal itu sia-sia. Saya menyeru diri sendiri dan sahabat sekalian, tuntutlah ilmu agar amalan yang kita amalkan, diterima Allah SWT di akhirat kelak. Semoga Allah SWT menjauhi kita dari berhadapan dengan situasi seperti yang digambarkan dalam ayat-ayat di atas, amin.


Kedua:

Seorang yang melakukan satu saja amalan buruk yang pada matanya tidak memberikan apa-apa kesan, namun dengan satu amalan buruk tersebut menyebabkan kemusnahannya di akhirat kelak.

وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬
kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. Surah An-Nur (15)

Diceritakan oleh Ghailan: Anas r.a. menyatakan:
"Engkau melakukan amalan jahat yang pada matamu lebih ringan dari sehelai rambut, namun di mata kami di zaman Rasulullah SAW, ianya satu dosa yang memusnahkan." (Sahih Bukari # 6492)

Ketiga:

Seorang yang melakukan amalan jahat tetapi merasakan amalan tersebut menyenangkannya

قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَـٰلاً (١٠٣) ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُہُمۡ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّہُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا (١٠٤)

Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Surah Kahf (103-104)

Baca & fahamilah ayat di atas dengan hati nurani kerana sesungguh para sahabat Nabi SAW, para ilmuan lalu yang terkenal dengan amalan yang mulia, apabila dibacakan ayat seumpama ini, bergegar tubuh mereka, mengalir air mata kerana takutnya mereka amalan mereka tidak diterima Allah SWT. Subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, Allahu akbar.


Keempat: Bermegah-megah.

Mungkin ada yang pernah mendengar tentang satu hadith berkenaan, seorang syahid, seorang cendekiawan, seorang dermawan. Bagaimana ketiga mereka di akhirat kelak di tanya Allah SWT tentang amalan mereka di dunia dan ketiga-tiganya menyatakan.. yang shahid menyatakan... aku syahid keranaMu Allah, cendikiawan berkata... aku belajar dan mengajarkan ilmu hanya keranaMu Allah, dermawan pulak berkata, aku bersedekah semata-mata keranaMu Allah, ketiga-tiganya akhirnya ditempelak Allah SWT... bohong... sesungguhnya kamu berbohong kerana apa yang kamu lakukan hanyalah untuk mendapat pujian dari manusia. Ketiga-tiganya diheret dengan wajah mereka ke neraka.. auzubillah. Sila rujuk Sahih Muslim hadis #1905/4923.

Ya Allah, Engkau Maha Pengampun, ampunkanlah segala dosa kami, jauhilah kami dari riak, berbangga diri, dan bermegah agar kami terhindar dari azab api nerakaMu Ya Allah.


Kelima:

Seorang yang banyak beramal soleh, tetapi dalam masa yang sama melakukan amalan buruk dan berharap agar amalan buruknya dapat dihapuskan dengan amalan soleh yang dilakukan. Jadilah dia seorang yang bankrap seperti yang digambarkan dalam hadis dibawah ini:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu.” Para sahabat menjawab: “Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu. Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.”

Ya Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, selamatkanlah kami di akhirat kelak, kumpulkan kami bersama kekasihMu, Rasulullah SAW di syurga firdausMu, Ya Allah, pandanglah kami dengan rahmat dan kasih sayangMu Ya Allah, amin.


Keenam:
Seorang yang amalannya diteliti di akhirat kelak, yang mana dia akan ditanya tentang nikmat yang disyukurinya dan akan dicampur dengan amalannya, dan ditimbang dengan segala nikmat yang Allah berikan kepadanya tetapi tidak disyukurinya. Nabi SAW pernah bersabda: Seorang yang buku amalannya yang diteliti secara terperinci di akhirat kelak, akan disiksa, atau akan musnah (Sahih Bukhari #6536). Auzubillah... saranan saya, jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberikan agar buku amalan kita tidak diteliti dan diperiksa dengan perinciannya sekali.


Ketujuh:

Seorang yang amalan jahatnya memusnahkan sebahagian amalannya atau amalan anggotanya sehingga dia akhirnya dihumban ke dalam api neraka.
Dari Thawban, Nabi SAW bersabda:
Ada manusia di kalanganku yang akan datang di akhirat kelak dengan amalan sebesar gunung namun dipandang seperti debuan yang berterbangan di mata Allah SWT. Mereka itu memiliki kulit yang sama dengan kamu (bercakap bahasa yang sama dengan kamu), menghabiskan masa di waktu malam beribadat seperti kamu, namun mereka ini apabila bersendirian, telah melanggar larangan Allah SWT.
Hadis oleh Ibn Majah

Semoga apa yang disampaikan ini memberi manfaat buat semua. Jauhilah segala amalan yang mungkin menjadi pemusnah kita di akhirat kelak. Dekatkanlah diri dengan Allah SWT, pastikan hubungan kita dengan Allah SWT sentiasa murni dan akrab lebih akrab dari diri kita sendiri. Wallahua'lam. Yang baik itu dari Allah SWT dan yang buruk juga dariNya atas kelemahan diri saya. Saya mohon ampun dari Allah SWT dan mohon maaf dari sahabat sekalian. Maafkan saya dan tariklah saya ke jalan yang diredhai Allah SWT.

--
Posted By saida to HELWA LANCASTER- UK on 5/03/2011

No comments: