Saturday, 12 May 2012

tacit knowledge

prof ajar untuk beribadah secara


MUDAH DAN RINGKAS


di sini


http://muhdkamil.org/



“Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)”
Allahu Akbar, dikatakan juga ribuan para malaikat akan turut serta bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu tersebut. Akal bodoh saya memikirkan dengan cara yang mudah dan ringkas, “rupanya ia tidak susah untuk menjemput para malaikat bertandang ke rumah”.
Saya mohon keampunan Allah.
Salah satu topik yang menjadi kegemaran ialah Mudah dan Ringkas. Ia pesanan untuk jemaah haji atau umrah yang akan pulang ke Malaysia. Barangkali ia bersifat pandangan sisi berdasarkan pengalaman kehidupan yang telah saya lalui.
Bahasa akademiknya disebut tacit knowledge. Saya simpulkan begini.
Tentu sekali kita mahu menjadi insan yang terpilih. Ia golongan yang sedikit di kalangan umat akhir zaman.
Namun – hampir kebanyakan mereka yang hadir – hanyalah manusia biasa-biasa (nota: saya merujuk kepada diri sendiri yang berkelulusan perakaunan bukan lulusan agama) tetapi sangat-sangat inginkan keredhaan Allah.
Haji yang mabrur bukan hanya ada ketika musim haji atau ketika berada di Mekah dan Madinah. Ia perlu dipertahankan sehingga kita tidak bernafas lagi!
Lalu premis yang saya cadangkan ialah melakukan amal ibadah yang mudah dan ringkas. Ia perlu dilakukan semata-samata kerana Allah sebagaimana yang disarankan melalui surah Ad-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”. Namun ia perlu berpandukan rukun Islam yang lima.
Pertama, mengucap dua kalimah syahadah. Ia sangat jelas, “Dialah yang satu-satunya yang kita sembah”. Lalu janganlah kita menduakan Allah dalam setiap tindakan kita. Jangan bergantung dengan manusia. Hendaklah kita sentiasa yakin kepada Allah.
Malah melakukan sesuatu kerana kita ingin menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Ia sentiasa perlu diamati dan diingati. Begitulah yang saya maksudkan apabila sering menyebut dan menulis “semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah”.
Kedua, melaksanakan solat lima waktu. Saya fikir, hampir 100 peratus jemaah yang datang ke Madinah atau ke Mekah menunaikan solat lima waktu. Namun perbezaannya juga sangat jelas. Ada yang hobinya suka bersolat di hotel.
Ada segelintir yang memilih untuk solat di kawasan lapang di luar masjid. Namun ada yang suka datang awal ke masjid untuk memenuhi saf-saf di hadapan dan melakukan amal ibadat lain terlebih dahulu.
Tidak terkecuali, ada yang suka bangun berqiamullail dan ada pula yang memilih untuk berlari-lari menuju ke masjid kerana kesuntukan masa.
Namun untuk menjadi insan yang terpilih yang sedikit ia tidak hanya sekadar menunaikan solat yang wajib. Saya fikir dan mencadangkan kita perlu memperbanyakkan perkara-perkara sunat. Ia tidak ssesukar mana.
Kenapa?
Kita tidak perlu terlampau bijaksana untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Jadikan ia sebagai satu keutamaan. Jika kita sebagai seorang pentadbir, pastikan solat berjemaah sebagai agenda program yang didahulukan. Agenda lain menyusul selepas meletakkan keutamaan ini.
Tentu sekali kita tidak perlu bergelar seorang ustaz (Nota: Di Madinah, saya dipanggil ustaz kerana seorang profesor) untuk bangun malam atau tidak perlu menjadi lulusan agama untuk melaksanakan solat Dhuha.
Ketiga berpuasa. Ramai orang berpuasa secara “lapar dan dahaga” semata-mata. Mari kita tingkatkan amalan berpuasa kita dengan sebenar-benar berpuasa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Opps… kenapa tidak kita berpuasa seumpama para Nabi dan Anbiya (nota: saranan Imam Ghazali dalam kitabnya Penawar Hati), iaitu, berpuasa semata-mata kerana Allah.
Ringkas dan mudah kerana kita tidak perlu mengumpat dan bergosip. Kita tidak perlu nmenghabiskan masa untuk mengadap TV yang menayangkan aurat wanita dengan sewenang-wenangnya.
Malah jika diperhalusi, kita tidak perlu berfikir dengan juadah berbuka puasa yang melampau. Ia dilaksanakan dengan cara yang paling sederhana sekali.
Kita cuma bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh, hati sentiasa mengingati Allah dan melaksanakan amalan lain dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah.
Hampir empat tahun saya mengajak “marilah kita melaksanakan puasa sunat Isnin dan Khamis. Ia sesuatu yang sangat nikmat. Ia tidak boleh diceritakan sehinggalah kita konsisten melaksanakan amalan ini”.
Kini saya cadangkan sedikit peningkatan, kita berpuasa bagaimana Nabi Daud berpuasa yang dikatakan amalan terbaik untuk berpuasa sunat. Ia puasa selang sehari.
Kenapa mudah dan ringkas?
Puasa… kita tidak perlu makan dan minum sehingga tiba waktu Maghrib. Cukuplah kita berbuka dengan cara yang mudah dan ringkas, kemudian terus menunaikan solat maghrib berjemaah di masjid.
Allahu Akbar, kita tidak perlu menjadi lulusan agama atau menghafal al-Quran untuk melaksanakan amalan ini. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja.
Keempat, bayarlah zakat. Jaga bab ini kerana kita sering terlupa untuk membayar zakat yang pelbagai jenis terutamanya bagi mereka yang mempunyai barang kemas yang tidak dipakai, perniagaan dan hasil tanaman.
Akhir sekali, laksanakan ibadat haji dengan cara terbaik sehingga ia boleh mengubah sempadan Iman. InsyaAllah, ia tiak sesukar mana jika kita memikirkan saat-saat kematian yang bakal tiba.
Ia tidak terlalu lama. Ia pasti tiba.
Setiap kali tamu berkunjung, kami akan menjemput mereka di Masjid Nabawi dan menghantar mereka pulang ke hotel. Ia perjalanan yang berbaloi.
Mungkin inilah kali pertama dan terakhir mereka berjumpa dengan saya dan Roza. Mudah-mudahan kesemua tetamu ini dan kami sekeluarga akan dapat berkumpul semula di Jannah yang paling istimewa.
Biarlah perjalanan kami ke sana mudah dan ringkas sebagaimana kita melaksanakan amalan-amalan mudah dan ringkas semata-mata kerana Allah.




http://muhdkamil.org/

No comments: