Monday 13 December 2010

siapa imam nawawi ? Berkorban demi ILMU

siapa imam nawawi




(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sebut saja Imam Nawawi, tentu ramai yang biasa mendengarnya. Namun, tidak ramai yang mengetahui biografinya. Di dalam mana-mana catatan biografinya, ramai para ulama menceritakan bagaimana tingginya pengorbanan beliau demi ilmu agama Islam. Kemasyhurannya merentasi pelbagai disiplin ilmu seperti Fiqh, Hadith, Ulum Al-Hadith, Nasab, Tarikh, Bahasa Arab dan sebagainya.

Nama sebenar Imam Nawawi ialah Yahya bin Syaraf. Nama-nama timangannya yang lain ialah Abu Zakaria, Muhyiddin (Penghidup agama), An-Nawawi, Al-Dimasyqi, Al-Faqih Asy-Syafi’e.

Panggilan Abu Zakaria sekadar panggilan beradab sahaja sebagai kebiasaan masyarakat Arab. Gelaran ‘Abu’ dan diikuti suatu nama ialah gelaran biasa masyarat Arab iaitu dengan memanggil bapa kepada nama anak khasnya anak sulung atau anak lelaki. Contohnya Abu Al-Hasan ialah untuk Saidina Ali R.A iaitu bapa kepada Hasan.

Gelaran Muhyiddin diberikan kepadanya atas dasar sifatnya yang tawadhu’ dan merendah diri serta sumbangannya yang besar dalam menghidupkan sunnah Rosululloh صلى الله عله وسلام dan menghapuskan bid’ah.

Gelaran An-Nawawi pula adalah sempena nama kampung kelahiran dan kewafatannya iaitu Nawa yang terletak di Hauran, Syria. Gelaran Al-Dimasyqi pula adalah kerana beliau tinggal lama di kota Damsyiq. Al-Faqih Asy-Syafi’e pula dinisbahkan kepadanya keran beliau bermazhab Syafi’e malahan beliau telah memberi nafas baru dalam penulisan mazhab Syafi’e di mana beliau menjelaskan martabat hadith yang dijadikan hujah oleh Fuqaha’ mazhab.

Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 631 Hijrah di Nawa. Beliau mula menghafaz Al-Quran dan mempelajari ilmu Fiqh semasa berusia 10 tahun. Pada tahun 649 Hijrah, beliau mengikutibapanya ke kota Damsyiq untuk belajar di Dar Al-Hadith yang terletak di timur Masjid Umawiy. Beliau menginggal dunia di kampung halamannya di Nawa selepas menziarahi Al-Quds dan Al-Khalil pada bulan Rejab tahun 677 Hijrah dan beliau dikebumikan di sana.

Imam An-Nawawi adalah seorang yang sagat tekun dalam ilmu. Sejak dari kecilnya, beliau dipelihara dan diberi penekanan terhadap ilmu oeh bapanya kerana beliau sememangnya cenderung terhadap ilmu. Kanak-kanak sebayanya tidak menykai beliau bermain dengan mereka kerana beliau sentiasa menghabiskan masa membaca Al-Quran.

Ibn Al-’Attar, salah seorang anak muridnya menyatakan bahawa gurunya itu tidak penah menghabiskan waktu siang dan malamnya melainkan untuk ilmu. Beliau tidak putus-putus menelaah kitab sekalipun di dalam perjalanan. Beliau tidak tidur malam melainkan sebentar sahaja, dengan bersandarkan kepada buku-bukunya, bila beliau tidur lalu bangun, terus saja mengulangi pelajarannya. Beliau wafat dalam usia sekitar 45 tahun dengan tidak sempat berkahwin kerana kesibukannya terhadap ilmu.

Hasilnya beliau terkenal sebagai seorang yang tekun menuntut ilmu, luas ilmunya dan mempunyai karya tulisan yang masyhur seperti kitab Riyadussolihin, Al-Azkar dan Al-Arba’in An-Nawawi. Beliau menjadi ulama rujukan pada zamannya hinggalah hari ini.

Beliau adalah satu contoh ulama yang boleh kita lihat bagaimana sikapnya terhadap ilmu. Lalu, mari kita lihat pula di dalam diri kita. Bagaimana sikap kita terhadap ilmu? Hidup pada zaman dunia penuh dengan kesibukan pembangunan dan pemajuan kebendaan, dengan kemasyhuran pelbagai hiburan bagi mengisi masa lapang, maka bidang keilmuan telah jauh terpinggir di kalangan ramai masyarakat, khasnya ilmu Islam di kalangan penganutnya.

Bukanlah tulisan kali ini ingin menyeru para pembaca agar mengikut jejak langkah Imam Nawawi sehingga meninggalkan kerjaya, tetapi sekadar ingin membawa semua agar menilai semula pengorbanan kita terhadap ilmu, khasnya ilmu berkaitan Islam.

Ruang masa selepas kerja, cuti hujung minggu dan cuti umum tersedia untuk kita korbankan sedikit untuk ilmu Islam. Andai contoh Imam Nawawi itu terlalu jauh untuk kita gambarkan, pergi saja ke mana-mana kuliah mingguan di surau-surau dan masjid-masjid sekitar tempat tinggal kita, terutamanya kuliah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang masyhur. Bila ditanya kepada sebilangan hadirin, ada yang datang dari jauh, bukan ahli kariah di situ, bagi mereka apa sangatlah nilai harga minyak kereta yang perlu diisi dan dibayar berbanding ilmu yang diperolehi. Apatah lagi nilai waktu yang dihabiskan mengadap sang guru berbanding menghabiskan waktu yang ada menonton rancangan realiti, drama mahupun filem.

Selain berkorban masa, berkorban dengan harta juga boleh kita buat demi ilmu. Mungkin kita boleh menyediakan sedikit peruntukan untuk membeli buku-buku dan kitab-kitab yang boleh dijadikan rujukan bacaan di samping mendengar kuliah daripada para guru. Andai masih terasa berat untuk berkorban wang untuk membelinya, kita boleh memotivasikan diri dengan mengingati bahawa beliannya boleh digunakan untuk mengurangkan cukai pendapatan yang perlu kita bayar kepada LHDN. Simpan bukti belian untuk digunakan bagi pelepasan cukai yang dibenarkan ini.

Sebenarnya, banyak lagi contoh cara bagaimana kita boleh berkorban demi ilmu. Cukup sekadar apa yang saya telah sebutkan untuk kita sama-sama cuba laksanakan. Tiada gunanya andai disebut banyak contoh, tetapi satu pun terasa sukar untuk kita laksanakan. Semoga terbuka hati kita untuk mencintai ilmu Islam dan kita sentiasa istiqomah atau berterusan mencintai ilmu, sekian terima kasih.



source

http://el-ilmy.net/tag/tafsir-ibnu-kathir/

No comments: