Monday, 24 October 2011

cerdas emosi menahan sifat marah

http://www.al-azim.com/masjid/khutbah22.html



TAJUK: MENAHAN SIFAT MARAH
TARIKH : 27 OKTOBER 2000

Khutbah kita pada hari yang mulia ini ialah " menahan sifat marah ", salah satu sifat yang tercela, sumber kejahatan dan menahannya adalah sumber kebaikan.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang laki-laki berkata kepada nabi s.a.w., berilah wasiat kepadaku, sabda nabi s.a.w. janganlah engkau mudah marah, maka diulangi oleh orang itu beberapa kali dan sabdanya, janganlah engkau mudah marah.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar orang yang sedang marah segera membuang jauh kemarahannya dengan segala macam cara yang dibenarkan, kerana jika dibiarkan boleh mendatangkan perbuatan yang diharamkan oleh syariat seperti bergaduh, mencederakan, membunuh, menceraikan isteri dan yang lain-lain yang menyebabkan penyesalan seumur hidup. Orang mukmin diwajibkan agar sentiasa bertakwa kepada Allah dan hanya boleh marah kerana agama Allah iaitu Islam. Dan demikianlah sifat nabi s.a.w., baginda tidak pernah marah dan dendam kerana dirinya, dia hanya akan marah sekiranya peraturan-peraturan Allah dilanggar oleh umatnya.

Saudara kaum muslimin,

Baginda Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul isterinya, orang gajinya dan juga orang lain, kecuali ketika berjuang di jalan Allah. Di dalam peperangan seorang sahabat, Anas bin Malik r.a. berkata, aku pernah berkhidmat dengan Rasulullah s.a.w. sepuluh tahun, tetapi tidak pernah Rasulullah memaki atau membentak aku.

Begitu juga Aisyah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w., jawabnya, sesungguhnya akhlak Rasulullah ialah Al-Quran. Dengan erti kata lain akhlak baginda adalah sebagaimana yang disuruh di dalam Al-Quranulkarim. Baginda redha kerana Allah subhanahua ta'ala dan baginda marah juga kerana Allah ta'ala.

Sidang jumaat yang dimuliakan,

Di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. ada disebutkan, orang yang sedang marah hendaklah berlindung dari syaitan atau membaca auzubillahi minasyaitanirrajim. Hendaklah pergi berwudhuk, kerana marah itu dari syaitan dan syaitan itu dijadikan dari api, maka api akan padam dengan air. Sekiranya seseorang yang sedang marah itu, sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, dan sekiranya sedang duduk, maka hendaklah dia berbaring.

Saudara kaum muslimin,

Di dalam Al-Quran menyebutkan salah satu sifat -sifat orang yang bertakwa ialah orang yang sanggup menahan marahnya. Firman Allah

Maksudnya : " Sifat orang yang bertakwa itu ialah orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang yang lain sedangkan Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik ."

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : " yang paling kuat di antara kamu ialah orang yang sanggup menahan nafsunya ketika marah "

Di dalam surah Al-Imran ayat 133-134 Allah berfirman yang bermaksud : " Dan bersegeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat pengampunan dari tuhan kamu dan mendapat syurga yang lebarnya seluas segala langit bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang lain dan ingatlah Allah subhanahua ta'ala mengasihi orang-orang yang berbuat perkara yang baik ."




http://www.al-azim.com/masjid/khutbah22.html

No comments: