Monday, 24 October 2011

CIRI-CIRI MENDAPAT HAJI MABRUR

CIRI-CIRI MENDAPAT HAJI MABRUR


http://www.al-azim.com/masjid/khutbah8.html


TARIKH BACAAN : 23 SYAWAL 1421H / 19 JANUARI 2001M
TAJUK : CIRI-CIRI MENDAPAT HAJI MABRUR

Tuan-tuan yang berbahagia,

Ibadat haji adalah rukun Islam terakhir yang diperintahkan Allah dan rasulnya ke atas setiap muslim dan muslimat yang telah mencukupi syarat-syarat dan rukunnya dengan sempurna. Ibadat ini diwajibkan pada tahun ke-5 Hijrah. Haji dan Umrah ini terkenal sebagai ibadat yang tertua dan teragung, kerana kedua-duanya bukan sahaja difardukan ke atas umat nabi Muhammad tetapi juga ke atas nabi-nabi sebelumnya. Kerana inilah segala kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja haji adalah sama dan menuju prinsip perpaduan umat manusia seluruhnya.

Perintah Allah ta’ala yang mewajibkan umat Islam mengerjakan haji dan umrah termaktub dalam surah Al-Imran ayat 97 :

Yang bermaksud : ‘ …Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullahulharam iaitu ke atas mereka yang berkemampuan dan sesiapa yang kufur yakni mengingkari kewajipannya maka sesungguhnya Allah maha kaya dari segala makhluknya ‘ disamping itu Rasulullah bersabda yang bermaksud : ‘ Mereka yang telah mempunyai bekalan dan kenderaan untuk pergi ke Baitullah, tetapi tidak berbuat demikian maka tiada halangan kepadanya mati sebagai Yahudi atau Nasrani’ .

Hadirin dan jemaah terhormat,

Dua dalil Al-Quran dan hadis nabi di atas dengan tegas mewajibkan setiap muslim yang balig, berakal dan berkemampuan menunaikan ibadat haji tanpa berlengah-lengah dan tidak mencari-cari alasan untuk melambat-lambatkan pemergiannya. Dalam pada itu, semua orang yang mengerjakan ibadat haji dan umrah hendaklah mengerjakannya dengan mengikuti segala peraturannya, adab-adab dan mengerjakan rukun dan sunnah –sunnahnya dengan sempurna serta menjauhi segala tekanan atau pantang-larang ketika berihram dengan sabar dan tidak melakukan kerja-kerja keji yang boleh merosakkan ibadah hajinya. Dengan cara ini diharapkan haji yang dibuatnya berjalan dengan baik, dan mendapat tarap sebagai ‘ haji mabrur ‘ yang balasannya tidak lain dari syirik seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bererti : ‘ Haji mabrur balasannya tidak lain dari syurga.

Para fukaha’ menerangkan terdapat beberapa cara untuk mendapatkan haji yang mabrur :

Pertama, sebelum bertolak ke tanah suci Makkatul Mukarramah terlebih dahulu hendaklah pekerja haji itu membersihkan dirinya dari dosa itu atau maksiat-maksiat dan kemungkaran dengan bertaubat nasuha.

Kedua, wang atau perbelanjaan yang digunakan pergi hendaklah dari sumber pendapatan yang benar-benar bersih dan halal mengikut pandangan syarak. Bukannya wang yang didapati dari jalan-jalan yang haram atau shubhah. Ini disebabkan ibadah yang dijalankan melalui jalan yang haram tidak diterima Allah. Nabi s.a.w. menegaskan dalam hadisnya, yang bermaksud : ‘ Sesungguhnya Allah itu bersih maka ia tidak menerima kecuali yang bersih juga ‘.

Ketiga, ibadah haji dan umrah itu dikerjakan dengan hati yang benar-benar takwa dan ikhlas kerana Allah, tidak dipengaruhi sifat-sifat riak, ujub dan takbur atau kerana mendapatkan sanjungan manusia. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bererti : ‘ Amalan–amalan itu bergantung kepada niat ‘. Hadis ini membawa maksud jika amalan itu dilakukan kerana Allah maka ia mendapat balasannya dari Allah tetapi jika dilakukan kerana yang lain seperti ingin mendapat sanjungan dari masyarakat maka ia hanya mendapat pujian dari masyarakatnya sahaja dan tidak beroleh apa-apa pahala dari Allah.

Keempat, sebelum pergi ke Mekah hendaklah dia menyediakan dirinya dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya mengenai cara-cara mengerjakan haji samada rukun-rukunnya, wajib-wajibnya, sunat-sunat dan perkara lain yang berkaitan dengan haji. Pekerja-pekerja haji sepatutnya tidak menyediakan wang atau bekalan makanan sahaja tetapi mestilah menyediakan bekalan ilmu yang mendalam, hati yang bersih serta takwa yang tinggi. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 197 :

Maksudnya : ‘…Carilah oleh kamu akan bekalan-bekalan tetapi sebaik-baik bekalan ialah takwa kepada Allah…’

Kelima, segala hutang kepada Allah seperti hutang solat, hutang puasa dan lain-lain, hendaklah dijelaskan terlebih dahulu. Begitu juga dengan hutangnya atau pinjamannya kepada manusia dan janji-janji yang dibuat mestilah diselesaikan sebelum bertolak ke tanah suci.

Keenam, memohon doa restu dan kemaafan dari ibu-bapa, sanak-saudara dan kaum keluarganya.

Ketujuh, tidak melakukan kerja-kerja yang dilarang semasa mengerjakan haji, tetapi hendaklah menjalaninya dengan tertib, berakhlak dan bersabar serta bertimbang rasa dengan kesusahan yang dihadapi jemaah yang lain. Semua kerja yang boleh menjejaskan pahala haji seperti bertengkar, bergaduh dan kata mengata hendaklah dihindarkan.




http://www.al-azim.com/masjid/khutbah8.html

No comments: