http://risalahhati.blogspot.com/feeds/posts/default
Tawakkal adalah suatu bentuk amalan hati yang penting dalam kehidupan seorang mukmin. Ia punca ketenangan dan ketenteraman hidupnya. Oleh itu, Allah s.w.t. selalu mengingatkan orang-orang beriman supaya sentiasa bertawakkal kepadaNya. Seperti yang difirmankan Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran yang maksudnya :
"Hanya kepada Allah orang-orang beriman itu bertawakkal." Surah Ali Imran ayat 122
Begitu pentingnya konsep tawakkal ini dalam kehidupan seorang mukmin, maka memahami konsep tawakkal ini pun turut menjadi penting. Sesuai dengan konsep Usul Fiqh : "Ma La Yatimmul Wajibu Illa Bihi Fahuwa Wajib" (Sesuatu yang tidak sempurna suatu kewajipan melainkan denganya, maka ia pun menjadi wajib). Di sini sedikit penjelasan tentang tawakkal, mudah-mudahan ia dapat difahami.
Hati yang bertawakkal hanya bergantung kepada Allah s.w.t. semata-mata. Penyandaran dirinya hanya kepadaNya dan ketenangannya pula hanya hanya padaNya. Hati yang bertawakkal tidak terikat dengan benda-benda material dan tidak bergantung pada makhluk.
Imam Ibn al-Qayim, seorang ulama yang pakar dalam bab hati menjelaskan tentang konsep tawakkal ini dalam bukunya Tibb al-Qulub dengan pendekatan yang mudah difahami. Menurut beliau, hakikat tawakkal adalah mentauhidkan hati. Bersihkan hati daripada kemusyrikan dan tanamkan ke dalamnya akidah tauhid yang benar. Apabila hati masih diselubungi oleh noda kemusyrikan, selagi itulah tawakkalnya masih cacat dan tercemar.
Hati yang bertawakkal ini dapat dirasakan melalui tanda-tandanya. Tanda-tandanya adalah hati itu tidak lagi kuatir dengan kedatangan dan pemergian sesuatu yang bersifat duniawi. Ia tidak sedih dengan pemergian sesuatu yang ia cintai dan tidak pula goncang dengan kedatangan sesuatu yang ia benci.
Imam Ibn al-Qayyim mengumpamakan keadaan hati orang yang bertawakkal itu dengan tiga keadaan manusia.
Pertama, seperti keadaan orang yang keluar dari perangkap musuh besar dan ia tidak mampu melawannya, kemudian ia menemukan satu benteng tempat berlindung; Allah mudahkan baginya untuk memasukinya dan menutup pintunya sehingga ia terselamat daripada musuhnya itu. Maka ia menyaksikan dengan tenang dari dalam benteng itu akan musuhnya yang berada di luar benteng. Ketika itu tiada lagi kekacauan dalam hatinya dan tiada pula ketakutan terhadap musuhnya. Seperti itulah keadaan hai orang yang bertawakkal; tidak takut dan gundah gelana hatinya dengan keadaan yang dihadapinya, sebab ia yakin Allah s.w.t. pasti akan menolong dan menyelamatkanya.
Kedua, seperti seorang yang diberi duit oleh seorang raja, namun duit itu hilang dicuri orang. Kemudian raja itu berkata kepadanya, "Sesungguhnya aku masih memiliki harta yang melimpah ruah dan duit yang masih banyak lagi, engkau jangan risau dengan duit yang hilang itu, bilapun kamu datang kepadaku, aku pasti akan memberimu." Apabila orang itu yakin dan percaya dengan apa yang dikatakan raja itu, ia akan tenang dan tidak bersedih dengan kehilangan yang dialaminya, kerana bakal ada gantinya. Seperti itulah orang yang bertawakkal kepada Allah s.w.t. Dia tidak risau dan bersedih dengan apa yang hilang daripadanya, sebab ia ada Allah s.w.t. Yang Maha Segala-galanya yang akan mengganti yang hilang itu.
Ketiga, orang yang bertawakkal seperti bayi yang masih menyusu dengan ibunya. Ia tidak mengetahui yang lain melainkan susu ibunya. Maka ia hanya bergantung dan berharap kepadanya, tiada yang lain. Ia juga hanya berlindung kepada ibunya. Seperti itu jugalah orang yang bertawakkal kepada Allah s.w.t. ia tidak akan bergantung, berharap dan berlindung melainkan hanya kepadaNya.
"Sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." Surah al-Tallaq ayat 3
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
2 days ago
No comments:
Post a Comment