Terapi Sedekah
source
http://www.fuadlatip.com/v1/2010/03/sedekah/
Kita sering bersedekah. Tetapi sedekah tidak memberi kesan kepada diri kita. Kita yakin dengan ganjaran yang Allah SWT janjikan. Namun kita sering tidak dapat ganjaran yang dijanjikan itu. Mengapa?
Syarat untuk bersedekah adalah sama dalam peristiwa korban Habil dan Qabil. Sedekah perlu memberikan harta yang kita sayang. Di sinilah latihan untuk kita menguatkan diri kita agar tidak terikat dengan harta benda dunia.
Kita selalu bersedekah tetapi sejauh mana sedekah kita itu termasuk ke dalam nilai yang kita sayang?
Sebagai contoh, kita memberi RM10 kepada yang meminta dengan niat bersedekah. Namun RM10 sebenarnya adalah nilai yang kita rasa tidak menjadi masalah untuk kita berikan. Kita bukan sekadar mampu memberikan RM10 tetapi lebih daripada itu sehingga rasa tidak kisah.
Nah! Adakah nilai Rm10 itu merupakan nilai yang kita sayang? Pastinya tidak. Lalu apa yang perlu kita lakukan?
Naikkan lagi nilai sedekah kita sehingga ke satu tahap yang kita rasa sayang untuk kita berikan nilai itu. Sebagai contoh, kita naikkan nilai RM10 kepada nilai RM30. Kita berasa cukup sayang sebenarnya untuk kita berikan RM30 itu. Maka sedekahkanlah Rm30 ini iaitu satu nilai yang kita sayang.
Dengan menaikkan nilai sedekah kepada satu tahap yang kita rasa sayang untuk kita berikan, kita sebenarnya telah memberikan sesuatu yang kita sayang. Namun kita kuat untuk melepaskan harta yang kita sayang dengan bersedekah. Kita tidak lagi terikat dengan harta dunia.
Peringatan
Namun pasti apabila kita bersedekah dengan harta atau nilai yang kita sayang, kita akan teringatkan dengan harta tersebut. bagaimana untuk menghilangkannya?
Perbanyakkanlah komunikasi dengan Allah SWT memohon agar rasa itu dihilangkan. Banyakkanlah ucapan ‘Aku rela ya Allah, aku rela. Tidak ada satu sen pun duit aku ya Allah. Semua harta ini duit Engkau ya Allah. Kalau Engkau nak ambil semua sekali pun aku tidak mampu menahannya ya Allah”.
InshaAllah jiwa lebih redha dan berserah pada Allah SWT.
Saudara,
Jika saudara lakukan sedekah seperti apa yang saya katakan, saudara akan lihat ganjaran yang Allah SWT janjikan satu persatu akan hadir. Ketika itu keyakinan saudara pada Allah SWT pasti akan meningkat dan terus meningkat.
Ia berlaku kepada saya, keluarga dan rakan-rakan yang telah saya ceritakan tentang sedekah ini. Rezeki bagi orang yang selalu bersedekah sentiasa ada. Tidak pernah dalam sejarah dunia sejak zaman Nabi Adam hingga kini kita mendengar bahawa mereka yang bersedekah menjadi miskin. TIDAK ADA.
Lakukanlah dan saudara akan selalu mendapat rezeki dan pertolongan pada masa, tempat dan sesiapa yang tidak disangka-sangka.
Semoga kita semua tidak terikat dengan keduniaan. Amin.
Ringkasan cara bersedekah:
1. Mulakan dengan satu nilai yang kita rasa mampu
2. Naikkan nilai itu sehingga ke satu tahap yang kita rasa sayang untuk kita sedekahkan.
3. Nilai inilah yang kita sedekahkan. (nilai yang kita sayang –> melepaskan kita dengan keterikatan keduniaan).
ya Allah saya ingin bersedekah ya Allah.
kau bantu aku ya allah. amin . amin.
..
Tuesday, 9 March 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment