Menanti saat kematian
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan. (AL ANBIYAA' 35)
Mungkin judul di atas agak menggerunkan bagi kita tetapi ianya adalah satu saat yang tiada seorang pun dapat menghindarinya apatah lagi untuk tidak merasainya. Mati merupakan satu topik yang saya gemari kerana mati itu sesuatu yang pasti maka seharusnya kita sedikit sebanyak tahu dan mula belajar mengenainya. Jika sekiranya kita hanya tahu bahawa mati itu adalah satu perkara wajib yang perlu dilalui dan mungkin kita pernah belajar untuk menghadapi mati tetapi tidak pernah langsung belajar untuk mati maka sesungguhnya kita sebenarnya tidak bersedia untuk mati bahkan mungkin dek kerana cinta dunia yang mengikat kehidupan kita merasakan bahawa mati itu hanyalah satu perkara yang mudah dan tiada persiapan yang perlu bagi kita untuk menghadapinya.
Bagi seorang pengamal meditasi Islam yang tulen maka yang ditakuti adalah saat nafas terakhir dalam hidup samada pada saat itu adakah kita masih mengingati Allah swt dengan penuh rasa cinta atau terkesima dengan mainan iblis. Ada orang yang ketika maut menghampirinya dia kelihatan begitu siksa dan tak kurang juga yang menanti saat kedatangannya malaikat maut kerana iya merupakan saat yang ditunggu selama ini. Saya pernah melihat kedua-dua situasi ini. Pernah satu ketika dahulu, saya pernah menghadiri satu tahlil sempena kematian seseorang. Dalam majlis tersebut, ramai yang mengungkap sejarah arwah yang telah pergi mengadap ilahi pada siangnya. Ramai yang memuji kebaikan yang dilakukan oleh arwah ketika hayatnya. Menurut mereka si arwah orang yang lembut dan suka membantu orang lain. Namun di celah pujian itu tiba terdengar satu suara yang mengatakan sesuatu yang bunyinya janggal kerana dia mempunyai pendapat yang berlainan dengan yang lain. Katanya si arwah itu mungkin sudah merasakan kedekatan api neraka kerana dia berpeluh saat menjelang kematiannya. Saya menjadi hairan kerana masih ada juga orang yang hanya member pendapat tanpa mengetahui hakikat perjalanan kematian di tengah khalayak yang membicarakan tentang kebaikan arwah.
Memetik satu hadis rasulullah saw dari Salman Al Farisi : perhatikan tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu, pertama berpeluh pada pelipis pipinya, kedua berlinang airmatanya dan ketiga hidungnya kembang kempis. Itulah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Namun jika dia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah sedang menimpanya. Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah, Al hakim dan At Tarmizi.
Justeru apa yang perlu ialah kita hendak faham apa yang kita katakan sebelum memberi komen kepada orang yang telahpun meninggal dunia. Seharusnya kita berpegang kepada ungkapan yang dititipkan dari satu generasi ke satu generasi, yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Apa yang berlaku sehingga kini ialah kita begitu sedih atas kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan mereka yang kita kenal. Kita pasti akan membicarakan kenangan yang ada semasa arwahnya hidup dan kita mungkin sedih atau mungkin merasa lega atas setiap kebaikan yang pernah dilakukan. Akan tetapi cukup sedikit diantara kita yang melihat kematian itu sebagai satu pelajaran dan sebagai pengalaman untuk kita lalui nanti. Jika kita menganggap kematian orang yang kita kenal itu sebagai satu tauladan atau sempadan, maka kita akan lebih berusaha untuk mempercayai bahawa saat paling sukar ketika kita bernafas adalah saat di mana ruh dan jasad itu berpisah. Oleh yang demikian kita seharusnya mencari jalan untuk bersedia ke arah itu. Adakah hanya dengan kebaikan yang ada kita sudah pasti bahawa kita akan menghadapi kematian dengan mudah. Jika pasti menjadi jawapan maka ternyata kita telah pun melakukan satu kesilapan dan mungkin perhitungan seumpama itu akan memberi impak terhadap kematian kita.
Bercerita tentang mati amatlah mudah tetapi bersiap untuk mati itu amatlah sukar kerana kita sering lupa umur sebenarnya bukan sekadar angka tetapi ianya adalah sedetik nafas yang kita sedut. Pengalaman melihat beberapa kematian telah banyak member impak yang besar dalam hidup saya. Ada diantaranya saya juga menitiskan airmata namun bukan hanya kerana kesedihan tetapi juga kerana ketakutan dalam menghadapi saat yang saya juga bakal hadapi entah bila. Bagi saya saat kematian adalah saat penentu dan bagi pengamal meditasi tulen, saat kematian itu adalah saat bermulanya satu kehidupan baru yang lagi kekal. Jika sekiranya kita menghadapi saat kematian itu dalam kesukaran maka kita bakal menghadapi satu kehidupan akan datang yang lebih sukar, oleh itu persediaan menjelang jemputan malaikat maut itu amatlah perlu.
Dalam pemahaman supersedar, persediaan itu perlu dilakukan dengan cinta. Hanya apabila wujud rasa cinta kepada Allah swt maka kita akan lebih besedia menghadapi mati. Jika yang wujud hanya rasa cinta dunia kita akan takut untuk meninggalkan dunia kerana mungkin urusan duniawi kita belum selesai dan mungkin kita tidak sedar bahawa urusan duniawi ini tidak akan pernah selesai. Apabila tercetusnya rasa cinta Allah swt yang mendalam kita pasti juga akan mengingati mati. Ini terjadi kerana apabila ruh meninggalkan jasad dengan cinta ilahi maka tujuannya sudah pasti ingin bertemu Tuhannya yang maha dikasihi. Hasilnya segala hal duniawi tidak lagi difikirkan kerana ianya sudah jelas harus diteruskan oleh mereka yang masih hidup. Maka benarlah bahawa mengingati mati itu akan membuatkan kita mengingati Allah swt. Persoalannya berapa kalikah kita melihat kematian dan kita mengingati Allah swt. Kematian ini buan hanya tertakluk kepada kematian manusia tetapi ianya juga adalah kematian semua makhluk termasuk binatang. Kematian binatang juga seharusnya menjadi satu iktibar untuk kita yang masih hidup untuk bersedia dengan jemputan malaikat maut.
Hari ini saya ingin memberi satu latihan yang agak mudah untuk kita lakukan agar kita dapat mengingati mati dan setelah itu kita melakukan apa yang seharusnya dilakukan untuk menghadapinya. Mulai hari ini cubalah para pembaca sekelian menziarahi kubur setiap minggu. Kita mungkin bertanya kubur siapa yang hendak dilawati. Itu bukanlah tujuannya, dalam kaedah ini kita hanya perlu ke kubur yang berdekatan dan cukup untuk kita hanya berada dalam kereta dan apa yang perlu kita lakukan ialah cubalah bertanya kepada diri sendiri adakah kita sudah bersedia menghadapi maut sekira kita dijemput dalam masa lima minit lagi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa maut hanya dating untuk mereka yang sudah berumur kerana maut adalah sedetik nafas. Maka ianya pasti datang pada waktu yang telah ditetapkan. Jika anda tidak mampu untuk bertanya kepada diri sendiri maka cubalah lakukan yang ini pula. Cuba renungkan ke kubur yang berhampiran dan cuba rasakan yang anda kini sebenarnya telah mula masuk ke dalam kubur tersebut. Anda akan merasakan satu perasaan ngeri dan mungkin takut. Seandainya anda mula merasa perasaan demikian maka berhentilah dan terus sahaja berdoa kepada Allah swt untuk diberi keampunan. Saya sendiri pernah melakukannya untuk seminggu yang mana pada awalnya tiada apa-apa perasaan kerana pada peringkat awal kita masih lagi teguh dengan ego dunia. Selang beberapa hari apa yang saya rasakan ialah seperti hampirnya saat kematian untuk saya maka ketika itu saya benar-benar merasakan saya perlu memohon keampunan dari Allah swt atas segala kesilapan saya.
Kali ini doa saya amat berlainan kerana saya mengungkapnya seolah-olah saya merasakan ada pedang di leher saya. Ketika itu saya merasakan seandainya saya mati ketika ini tanpa mendapat keampunan dari Allah swt maka saya sudah pasti dicampakkan ke neraka. Saya terus bermohon kepada Allah swt supaya diampuni hingga satu saat saya merasa begitu lega atas ungkapa saya. Sejak dari itu ingatan saya tentang saat kematian itu begitu jitu dan biar apa yang terjadi saya akan memikirkan dahulu saat ajal menjelang tiba. Hasilnya jiwa yang keras kini sudah mula lembut, jiwa yang dahulunya mengingati Allah swt seperti biskut choc fudge kini berubah dengan mengintainya dengan cinta. Jika dahulunya setiap ibadah itu dikira pahalanya kini setiap ibadah itu telah menjadi lambang cinta yang dalam dan setiap ketika ternanti-nanti bilakah dapat bertemu yang maha dicintai lagi dirindui. Tanpa cinta kita lemah dan tanpa rindu kita sesat. Cinta membuat kita berdiri dan berlari manakala rindu menyuluh arah tuju dengan jelas. Semoga para pembaca yang saya hormati dapat mencuba sebaik mungkin dan semoga Allah swt memberi jalan yang dapat memberi kekuatan untuk kita bersedia dalam menghadapi nafas terakhir di dunia ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment