source
http://pakngah70.blogspot.com/2006/08/baca-dengar-al-quran-penawar-jiwa.html
Berita Harian, 7 ogos 2006
Oleh Mohd Shukri Hanapi
AL-QURAN adalah kitab suci yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu rahmat yang tiada bandingnya bagi seluruh alam. Penurunannya adalah semata-mata untuk dijadikan petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi semua umat di muka bumi ini.
Firman Allah bermaksud: “Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.” (Surah al-Baqarah ayat 185).
Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah. Oleh itu, kandungannya merangkumi segala dasar syariat dalam kitab suci yang diturunkan sebelumnya.
Mereka yang mempercayai al-Quran akan berusaha membaca, mempelajari, memahami serta mengamalkannya, juga mengajarkan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Membaca al-Quran adalah amalan mulia. Sesiapa yang membacanya akan dianugerahkan pahala yang berlipat ganda pada setiap huruf yang diturunkan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Oleh itu jelaslah, al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain ibadah yang diberi ganjaran, membaca, al-Quran menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang resah gelisah jiwanya.
Dalam hal ini, seorang lelaki berjumpa Ibn Mas'ud meminta nasihat untuk dijadikan ubat jiwanya yang sedang resah gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa.
Ibn Mas'ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya lelaki tadi dinasihatkan mengunjungi tiga tempat iaitu tempat orang membaca al-Quran atau mendengar baik-baik orang yang membaca al-Quran atau menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah serta memohon ketenangan jiwa dan ketenteraman fikiran juga kemurnian hati.
Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, minta kepada Allah supaya diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya.
Lelaki itu telah mengamalkan apa yang dinasihatkan oleh Ibn Mas'ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran, jiwanya terasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.
Perlu dijelaskan, membaca al-Quran sama ada memahami ertinya atau tidak adalah ibadah, amalan soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Memberi cahaya dalam hati; memberi cahaya kepada keluarga juga tempat di mana al-Quran itu dibaca.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqiy daripada Anas dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran."
Membaca al-Quran tidak sama dengan membaca buku, majalah atau komik. Ini disebabkan al-Quran itu kitab suci yang berupa wahyu Allah. Jadi membacanya tentu mempunyai adab tersendiri yang mesti diikuti oleh orang yang membacanya supaya bacaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sama ada untuk dirinya sendiri atau pendengar. Justeru, setiap orang yang membaca al-Quran mesti tunduk berpedomankan adab yang ditentukan.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' `Ulumuddin memberi garis panduan yang berkaitan dengan adab membaca al-Quran, iaitu adab batin dan zahir.
Dimaksudkan dengan adab batin itu ialah memahami kalimah yang dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalimah Allah, menghadirkan hati sepenuhnya ketika membaca, memperhalus perasaan dan jiwa. Dengan adab batin itu, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah itu dapat bersemi di dalam jiwa dan meresap ke dalam lubuk hati si pembaca.
Untuk membesarkan kalimah Allah seperti yang dijelaskan Imam al-Ghazali, seseorang itu mesti menghadirkan dalam hati betapa keagungan Allah yang mempunyai kalimah itu tadi.
Pembaca mesti memahami bahawa apa yang dibacanya itu bukan tutur kata manusia, tetapi ia adalah kalam Allah. Membesarkan kalam Allah itu bukan saja ketika membacanya, malah ketika menjaga tulisan al-Quran.
Akhir sekali, kita perlu yakin bahawa membaca dan mendengar bacaan al-Quran itu sebagai penawar untuk mengubati jiwa yang tidak tenteram.
Oleh itu, sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-48, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan untuk datang beramai-ramai ke Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bagi mendengar bacaan ayat suci al-Quran.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan ke sana, boleh mengikuti majlis ini melalui siaran televisyen.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
3 days ago
No comments:
Post a Comment