Tuesday, 15 June 2010

why do i cry? playing with emotion or sorry to Allah

source



“Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.” (at-Taubah:82)

Cuti sekolah kembali lagi. Cuti selama dua minggu kali ini dapat memberi ruang kepada ibubapa untuk lebih dekat dengan anak-anak, ada yang sudah merancang untuk bercuti dan tak kurang juga yang ingin pulang ke kampung halaman. Setiap kali cuti sekolah juga pelbagai program akan diadakan samada oleh pihak sekolah mahupun pihak swasta. Bagi ibubapa yang tidak dapat bercuti, mereka mungkin merancang untuk menghantar anak-anak mereka ke program-program motivasi yang bertebaran di luar sana. Ada dua kemungkinan mengapa anak-anak dihantar ke kem motivasi sewaktu cuti sekolah ini, yang pertama kerana inginkan perubahan pada diri anak-anak mereka dan yang kedua pula mereka sebenarnya sibuk dan mereka tidak mampu untuk mengadakan masa untuk anak-anak, justeru itu, anak-anank juga perlu disibukkan dengan aktiviti yang dapat mengisi ruang waktu cuti persekolahan. Alasan yang pertama jelas lebih mulia dari alasan kedua, pun begitu alasan kedua juga mungkin boleh menjadi penyebab kepada perubahan anak-anak namun harus diingat mereka tetap juga perlukan perhatian dalam pembesaran dan ibubapa merupakan contoh terbaik untuk mereka. Jika kita marah anak kita bersikap negatif, maka kita harus juga lihat dicermin mana dia melihat, barangkali kita adalah cermin utama yang dilihatnya.

Beberapa bulan lepas, saya bertemu dengan seorang bapa yang menceritakan yang anaknya telah mengikuti satu kem motivasi. Katanya kem itu begitu hebat kerana dapat membuat anaknya menangis, cuma katanya dia tidak sehebat motivator tersebut untuk membuat anaknya sering menangis. Saya bertanya kepada sibapa, mengapakah anaknya menangis, lalu dia menjawab yang anaknya insaf setelah beberapa hari diberi nasihat dan sewaktu menjemputnya pulang, anaknya begitu kuat tangisannya, dan memeluknya dan memohon ampun atas kesalahannya. Itu satu perkara yang bagus, namun keluhnya, anaknya kembali kepada perangai asal selang beberapa minggu selepas itu. Dia berfikir bagaimana untuk membuatkan anaknya berasa insaf. saya tidak memberi komen apa pun kerana saya kurang gemar memberi komen jika tidak diminta. Saya mempunyai pandangan berbeza tentang hal ini. Baru-baru ini saya menonton rancangan diari AF8 di mana ibu-ibu pelajar dipanggil masuk. Sebelum itu mereka diminta mengingatkan peristiwa yang mereka lalui dimana akhirnya saya melihat isak tangis berlaku. Selepas tangisan menjelma dalam episod itu, para ibu dipanggil masuk untuk bertemu para pelajar berkenaan. Seperti biasa begitu syahdu dan begitu sedih mereka memeluk ibu mereka, namun yang pasti hanya seketika. Ini tidak bermakna mereka perlu menangis sepanjang pembelajaran mereka. Persoalan saya, berapa lamakah mereka dapat merasakan kekesalan mereka. Sama seperti anak sibapa yang bertemu saya atau mungkin sama seperti anak-anak kita yang menangis ketika diingatkan kesilapan mereka, namun yang pastinya kekesalan itu tidak kekal lama.

Perkara yang sama juga mungkin pernah berlaku kepada kita, mungki kita pernah menghadiri program-program berteraskan tangisan. Kita mungkin menangis ketika dalam program apabila dikupas setiap detik kealpaan kita kepada Allah swt, kita disuruh mengenang berapa banyaknya dosa-dosa yang kita lalui. Kita menangis dengan penuh sedu sedan kerana berasa insaf atas dosa yang selama ini kita lakukan tetapi hairannya apabila pulang ke rumah, kita hilang perasaan sedemikian. Adakah kita berasa insaf ketika itu. Saya melihat kelemahan bangsa kita adalah cepat menangis dan melatah. Kita terlalu mudah dimanipulasikan secara emosinya. Kita menangis ketika dalam program bukan kerana kita insaf tetapi kita sebenarnya dimainkan emosi. Saya sering berkata kepada teman-teman trainer saya, seandainya seorang peserta saya menangis maka saya ada melakukan kesilapan kerana emosinya tergugat mungkin kerana percakapan saya. Mungkin ada yang berkata, bukankah tanda insaf itu menangis atas kesalahan diri. Benar dan tidak saya nafikan, tetapi tangisan itu datang dari jiwa sendiri bukan atas manipulasi emosi dari luar. Tangisan insaf tidak perlu suara luar yang memainkan emosi tetapi perlukan rasa dari dalam diri. Jika suara luar yang memainkan emosi, kita mungkin ‘berasa’ insaf tetapi belum insaf. tangisan yang benar tidak perlukan khalayak untuk dipertontonkan, kerana tangisan insaf lahir apabila kita bersendirian bersama Allah swt. Kita merenung kealpaan diri dalam mentadbir hubungan dengan Allah swt. Tangisan emosi hanya hadir apabila kita dipandu oleh seseorang hingga emosi kita tersentuh namun ianya hanya sentuhan emosi bukan sentuhan jiwa. Saya secara jujurnya menolak acara tangisan dalam program kerana kita hanya mempermainkan emosi peserta walaupun alasannya untuk menyedarkan namun kesedaran itu perlu dibawa bersama kaedah. Kita perlu membimbing peserta untuk melihat kasih sayang Allah swt dengan rasa dan bukan dengan emosi. Emosi amat rapuh, kita menangis sepyuluh minit tetapi apabila sesuatu yang kita suka menjelma hilang tangisan bukan untuk sepuluh minit bahkan mungkin untuk selamanya.

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata; Rasulullah Saw bersabda: Ada tujuh golongan yang Allah akan menaunginya pada saat tidak ada naungan kecuali naungan-Nya…. Orang yang mengingat Allah ketika sendirian sehingga bercucuran air matanya. [Mutafaq ‘alaih]. Cucuran airmata perlu datang dari roh bukan dari permainan emosi. Hari ini mari kita renungkan kembali berapa kali kita menangis kerana emosi dan berapa kali kita menangis kerana menginsafi diri. Kita renungkan kembali berapa kali kita dimainkan emosi hingga mengalir air mata tetapi hanya sementara dan berapa kali kita mengalirkan air mata rindu kepada Allah swt yang tidak pernah mengabaikan kita walau sesaat. Berhati-hatilah dengan tangisan agar kita tidak tertipu dengan emosi yang merosakkan diri dan duduk dalam ilusi.

No comments: