Muhammad Chan bersyukur pengislaman direstui
Utusan Malaysia, 4 Januari 2008
Oleh: ZUARIDA MOHYIN
MUHAMMAD Chan Abdullah bersama anak sulungnya, Amos Chan di hadapan restoran yang terletak di Jalan Melati, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
KEINGINAN Chan Chean Chuan atau nama Islamnya, Muhammad Chan Abdullah mengucap dua kalimah syahadah berputik sejak enam tahun lalu. Namun, hasrat tersebut terpaksa dipendamkan demi menjaga hati semua pihak terutamanya kedua-dua ibu bapa dan keluarga terdekat.
Pada waktu itu juga, kesihatan Chean Chuan ibarat nyawa-nyawa ikan. Doktor bagai sudah putus harapan dengan menyarankan agar beliau dibawa pulang ke rumah.
“Sejak disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada tahap kronik, kehidupan saya berubah sama sekali.
“Rutin seharian saya dihabiskan dengan berbaring di kerusi malas. Saya rasa tidak bermaya langsung, cepat letih dan mengalami bengkak-bengkak keseluruhan badan, walaupun telah diberikan suntikan bagi membolehkan saya membuang air kecil.
.
“Sayangnya, rawatan itu tidak berfungsi malah saya terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat, kesan pengambilan ubatan itu,” kata Muhammad Chan, 55, yang kini sudah sembuh sepenuhnya selepas puas berikhtiar.
Seperkara yang diakui Muhammad Chan mengenai beberapa asbab yang membawa kepada pengislamannya, selain menggemari kelunakan bilal melaungkan azan, meskipun tidak memahami maksudnya, beliau juga tertarik dengan salah satu ibadat wajib bagi penganut agama Islam iaitu melihat mereka mendirikan solat terutamanya solat Jumaat.
Katanya, melihat umat Islam berjemaah membuktikan satu disiplin serta kesatuan yang teguh. Kewajipan mendirikan solat lima waktu dalam sehari malah tidak termasuk solat sunat yang lain, turut menjelaskan betapa rapatnya hubungan seseorang Muslim itu dengan Allah. Ia secara tidak langsung menyedarkan saya betapa kita perlu kepada-Nya walau sesibuk manapun kita.
“Ini tidak pula kalau kita lihat kepada ibadat puasa, zakat dan lain-lain. Hakikatnya, syariat di dalam agama Islam itu sesuai dengan fitrah manusia. Malah Islam itu merangkumi segala aspek dalam kehidupan. Yang pastinya, Islam itu tidaklah terlalu susah kalau hati kita benar-benar inginkannya ditambah dengan hidayah yang diterima.
“Sebenarnya, saya sudah lama berkehendak kepada agama Islam ini tetapi pada masa itu, saya tidak tahu bagaimana caranya. Sehinggalah bila saya berjumpa dengan seorang teman dan dia membawa saya ke Pejabat Agama Islam di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor untuk melakukan pengislaman,” terang Muhammad Chan yang mengucap dua kalimah syahadah setahun lalu.
Menariknya tentang kisah pengislaman anak kedua daripada empat adik-beradik ini, keputusannya bergelar Muslim langsung tidak mendapat tentang ahli keluarga yang lain, waima isteri dan tiga anaknya.
Kemanisan pengislaman Muhammad Chan tambah bermakna apabila isterinya juga menurut jejak langkah bergelar Muslim tiga bulan kemudian dengan menggunakan nama, Aminah Lee Abdullah.
Pengislamannya dilakukan oleh ustaz Yusuf Abdullah di Pejabat Agama Islam Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor.
Lazimnya, anak-anak dan adik-beradik akan menentang apabila diberitahu bahawa ayah atau adik mereka hendak masuk Islam. Namun berlainan pula reaksi yang dialami oleh pasangan Muhammad Chan dan Aminah Lee.
“Sebelum saya memeluk Islam, saya ada beritahu abang sulung. Saya agak terkejut kerana abang saya yang merupakan seorang penganut Buddha yang taat dan pengamal vegetarian hampir 15 tahun, langsung tidak menentang.
“Malah dia menasihatkan saya agar menjadi seorang Muslim yang sejati bukan atas dasar suka-suka ataupun berkepentingan lain,” kata Muhammad Chan yang sentiasa murah dengan senyuman.
Malah ditanya kepada anak sulung Muhammad Chan iaitu Amos Chan, 31, katanya: “Agama Islam bukanlah asing bagi saya. Ini kerana saya banyak bergaul dengan orang Islam sama ada di alam persekolahan mahupun pekerjaan.
“Jadi, apabila ayah dan ibu mengambil keputusan untuk memeluk Islam, kami tidak sekali-kali menganggapnya sebagai sesuatu yang memalukan malah kami hormati pilihan mereka berdua.
“Jika agama yang mereka pilih itu menggembirakan, tidak ada sebab kami adik-beradik menentang,” kata Amos yang mengendalikan kilang pengeluaran jus minuman di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
Di samping itu, akui Muhammad Chan, selepas bergelar Muslim, kehidupannya lebih tenang dan tenteram. Apatah lagi, dengan kenikmatan kesihatan yang sudah sihat sepenuhnya serta lebih memahami apa yang dimaksudkan nikmat sihat sebelum sakit.
Walau bagaimanapun, beliau akui mengalami cabaran di awal pengislaman iaitu dalam mendirikan solat terutamanya dari segi bacaan. Alhamdulillah, dengan adanya ilmu sewaktu mengikuti kursus-kursus jangka pendek anjuran Pejabat Agama Islam Kuala Kubu Baru dan mendapat bimbingan daripada ustaz Yusuf Abdullah serta ustaz-ustaz lain, perkara itu berjaya diatasi.
“Pokok pangkalnya, kita sendiri kenalah berusaha. Saya pernah pergi ke satu kursus di mana saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana orang yang Islam kerana sebab tertentu, bukan ikhlas kerana Allah. Saya jadi malu dan tidak menyangka ada yang berniat untuk kepentingan tertentu.
“Dalam bab belajar, saya percaya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Malah Allah telah berjanji mempermudahkan setiap usaha terutamanya kepada hamba-Nya yang berusaha ke arah lebih mengenali dan memahami Islam, insya-Allah,” jelas Muhammad Chan yang gembira bisnes kedai makannya kini semakin mendapat sambutan sejak pembukaannya kira-kira tujuh bulan lalu.
Ustaz Yusuf Abdullah yang turut serta dalam pertemuan pada pagi Krismas itu mengakui, semenjak mengenali Muhammad Chan sewaktu mengislamkan Aminah Lee, komitmen pasangan ini kepada Islam contohnya dalam melaksanakan solat, puasa wajar dicontohi golongan mualaf lain.
“Apabila saya diminta untuk menyamak kedai makannya, saya agak terkejut dengan keprihatinannya yang belum setahun memeluk Islam. Ditambah pula, kedainya turut menyediakan kemudahan bilik solat kepada pelanggan. Ini juga memudahkan dirinya, isteri dan pekerja Muslim melaksanakan ibadat solat.
“Beliau juga seorang yang pemurah dan sentiasa ingin belajar walaupun secara tidak formal dengan tidak malu bertanya berkaitan amal ibadat yang sukar difahami.
“Saya yakin, sebab itulah bisnes yang diusahakan berjalan lancar selain penyediaan makanan dan minuman yang sedap dan cepat serta pengunjung berpeluang menikmati pelbagai juadah masakan Cina,” katanya yang berbangga dengan Muhammad Chan.
Labels: Saudara baru
source
http://pakngah70.blogspot.com/
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
3 days ago
No comments:
Post a Comment