Friday, 1 October 2010

anak profesor hanya dapat 3A? = inilah kebesaran Allah. Bagaimana Allah mengatur kehidupan kita.





source






Peperiksaan

UPSR selesai. PMR, SPM dan STPM pula akan muncul. Di universiti, peperiksaan akhir semester akan bermula dalam sebulan dua lagi.

Terbilang ayah, terbilang anak selalunya dirujuk bagi persediaan anak-anak supaya mendapat keputusan maksimum 5A, 9A, 10A atau 4 prinsipal A. Saya sendiri mahu anak-anak saya mencapai kejayaan A yang maksimum. Bagaimanapun, apa pun hasil akhirnya, saya sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi oleh anak-anak.

Banyak atau sedikit A ia langsung tidak memalukan saya.

Dua tahun yang lepas, saya dengan rasa bersyukur bercerita tentang kejayaan Sara mendapat 3A dalam SPM. Seorang pembaca menulis, “anak profesor hanya dapat 3A?”

Kelulusan tersebut mencukupi untuk Sara layak mengikuti kursus yang sangat-sangat beliau minati, Grafik – Art and Design. Saya menyatakan dengan jelas, “Ayah tidak suka kursus ini tetapi kerana ia pilihan Sara, ayah benarkan dengan satu syarat. Solat jangan tinggal!”

Beliau mengikuti program diploma di UiTM Melaka. 1 1/2 tahun kemudian beliau berjaya diserap terus mengikuti Sarjana Muda di UiTM Shah Alam.

“Sara, ada kawan-kawan yang mendapat 6A, 7A semasa SPM yang masih kekal dalam program diploma?”

“Ada… ramai…”

“Sara tengok, inilah kebesaran Allah. Bagaimana Allah mengatur kehidupan kita. Ingat, dulu ada orang sinikal dengan ayah yang Sara anak profesor hanya dapat 3A. Paling penting dalam hidup kita ialah berusaha, bersyukur dengan apa yang kita perolehi dan jangan lupa Allah.

Solat jangan tinggal.

Mungkin kita tidak selalu dapat yang terbaik tetapi kita sentiasa berada dalam kelompak yang OK tanpa orang sedari. Ada orang dapat melompat masuk ke program sarjana muda, Sara dapat. Bila tamat pengajian, orang susah mencari pekerjaan, Sara boleh dapat pekerjaan.

Bagaimana boleh terjadi begitu? Itulah kebesaran Allah”

Apa pun keputusan UPSR Amirul, beliau sudah berjaya mendapat 5A di mata saya. Kenapa?

Sepanjang tempoh tiga hari peperiksaan, beliau dan kawan-kawannya dikumpulkan di surau sekolah. Mereka bermalam di sana. Hari ketiga, beliau meminta saya menjemputnya di sekolah.

“Amirul boleh jawab?”

“Mudah”

Saya memandang Roza dan Roza memandang saya sambil tersenyum. Begitulah anak-anak kami yang sentiasa berkeyakinan apabila ditanya dengan prestasi peperiksaan. Namun hasil akhirnya belum tentu lagi. Saya selalu katakan mereka terlebih motivasi.

“Senang? Kawan-kawan ayah semua kata susah. Bagaimana Amirul boleh senang?”

“Sebab Amirul bangun solat hajat. Amirul bangun pukul dua. Lepas tu Amirul tidur balik”

Saya dan Roza terkedu. Saya tidak menyangka inilah jawapan beliau.

“Cik gu kejutkan Amirul?”

“Tidak. Amirul bangun sendiri”

“OK…. Amirul hendak makan di mana? Ayah suka sangat… ayah belanja Amirul”

“Amirul puasa…”

Saya lebih sebak.

No comments: