source
Khusyuk itu bermakna asyik. Khusyuk di dalam solat bermakna asyik dengan Allah SWT. Syarat untuk asyik adalah yakin. Sesiapa yang khusyuk ketika solat adalah mereka yang yakin bahawa mereka SEDANG bertemu dengan Allah SWT. Mereka yakin bahawa mereka SEDANG kembali kepada Allah SWT. Kesedaran itu kembali kepada Allah SWT atau ayat mudahnya SEDAR sedang mendirikan solat dan sedar Allah SWT itu berada sangat dekat malah lebih dekat daripada urat leher.
Ketika kita berbual dengan sahabat, kita terlebih dahulu sedar dan yakin bahawa sahabat kita ada di hadapan kita dan sedang berbual dengan kita. Jika kita tidak sedar dan tidak yakin bahawa sahabat kita berada di hadapan kita, pasti kita tidak akan berbual.
Untuk doa dimakbulkan, kita perlu yakin dengan Allah SWT bahawa Allah SWT akan memperkenankan permohonan kita. Namun keyakinan ini menjadi masalah kepada ramai di antara kita. Kita memohon tetapi kurang yakin bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa kita.
Seperti contoh, saya berjumpa dengan ramai orang yang amat takut dengan kematian kerana berasa diri banyak dosa dan belum bersedia. Namun dalam ketakutan tu, kita tidak pula bersungguh-sungguh untuk berada dekat dengan Allah SWT.
Saudara, kematian bererti pulang atau kembali kepada Allah SWT. Kita tidak perlu takut dengan kematian kerana kematian itu membuatkan kita kembali kepada Allah SWT. (Yang saya takuti seandainya kematian tidak pulang ke Allah SWT. Namun tidak ada kematian yang tidak pulang ke Allah SWT.)
Sebenarnya yang perlu kita takut bukanlah kematian itu tetapi yang perlu kita takutkan adalah saat ketika kita mati itu. Ketika nafas terakhir kita itu, adakah kita berada dalam kesedaran tertinggi di mana kita yakin kepada Allah SWT?
Makanya seharusnya kita ini bimbang tatkala melakukan maksiat, Allah SWT memanggil kita pulang. Kita seharusnya bimbang di kala kita lupakan Allah SWT, Allah SWT menjemput kita pulang. Kita seharusnya bimbang, ketika kita seronok dan alpa dengan harta benda dan pangkat, Allah SWT meminta kita untuk pulang.
Saudara,
Tidak yakin bahawa Allah SWT menghapuskan dosa kita membuatkan hidup kita takut dengan kematian. Kita berasa takut untuk mati kerana berasa terlalu banyak dosa.
Tujuan agar kita selalu memikirkan dosa yang lalu adalah hanya untuk mengingatkan diri kita agar tidak mengulangi kesalahan kita lagi kerana bimbang tatkala melakukan dosa tersebut, kita dipanggil oleh Allah SWT untuk pulang selama-lamanya. Bukan bertujuan agar kita terbelenggu dengan dosa-dosa yang kita ada sehingga kita takut untuk mati.
Kita perlu yakin bahawa ketika kita memohon ampun kepada Allah SWT, Allah SWT terus mengampunkan dosa-dosa kita. Jika dosa kita setinggi gunung, yakinlah bahawa ampunan Allah SWT seluas langit dan bumi.
more on this article here
http://www.fuadlatip.com/v1/2010/02/meningkatkan-keya
Friday, 5 February 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment