Saturday, 4 February 2012

“Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu."

solat tahajjud











Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah
malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.
Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat

AMALAN solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat tahajud seperti sabda Nabi SAW: “Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Nombor 1163.
Namun begitu hanya segelintir umat Islam pada masa kini yang prihatin dan mengambil peduli berkaitan pelaksanaan ibadat solat tahajud ini. Majoriti umat Islam lebih memilih untuk tidur.
Tahajud terbentuk daripada kata dasar hajada bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Jika seseorang berkata: Tahajjadtu bermaksud saya membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h berkata: “Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu.
Menurut Ibn Faris: Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat pada malam hari. Menurut al-Kurra’ pula, tahajjud adalah solat malam secara khusus.” Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203
Oleh itu, solat tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling utama dilaksanakan solat tahajud adalah satu pertiga malam terakhir iaitu bermula jam 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.

Dalil disyariatkan solat tahajud ini adalah sebagaimana firman Allah SWT: “Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)

Abu Ubaidah menyatakan di dalam Kitab al-Majaz: “Maksud firman Allah kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu ialah berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.” Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202

Dalil solat tahajud lebih utama dilakukan satu pertiga malam terakhir berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih ada baki satu pertiga malam yang akhir.

Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampuninya.”

Ternyata ibadat di dalamnya ada doa, permintaan dan permohonan ampun adalah solat.
Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.
Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.
Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis: Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” Hadis riwayat al-Bukhari.
Justeru, selepas dibandingkan amalan Rasulullah SAW ini dengan diri kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa, mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melaksanakan solat tahajud? Adakah kita menganggap diri kita setanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?
Allah mengurniakan pelbagai keutamaan besar bagi mereka yang melaksanakan solat tahajud. Mereka mengerjakan ibadat pada malam hari akan dikurniakan kedudukan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak yakni menjadi ahli syurga.

TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD
Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of HumanSciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap.Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selam tiga jam.Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untukmemungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur,mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktutidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bula kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.
Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktordari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : " Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktumalam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.
Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalammemastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidat merasa nikmat oksigen ini.
satu cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t ialah dengan bangun mengerjakan ibadat, khususnya sembahyang Tahajud atau sembahyang di tengah malam.

Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan.

Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang makhluk yang mengaku bertuhankan Allah.

Sesungguhnya, bukan satu perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari ketika orang lain sedang dibuai mimpi.
Juga bukan satu perkara mudah untuk berwuduk dalam suasana dingin malam yang mencengkam dan bukan mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil kepedihan.

Dengan kata lain, amalan bangun bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu kerana sehari suntuk bekerja pada siang hari menyebabkan sesetengah orang yang tidur seperti mati. Ia amat susah untuk disedarkan walaupun puas dikejut.

Matanya akan menjadi bertambah mengantuk dan tubuhnya akan menjadi bertambah penat apabila mereka tidur lewat malam kerana asyik menonton tayangan gambar larut malam di kaca TV atau mereka melakukan kerja tambahan lain.

Keadaan sejuk dan suasana sunyi sepi di tengah malam juga menjadi faktor untuk membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah di tengah malam.

Iman yang kurang tebal akan membuat seseorang yang tidur nyenyak menarik selimutnya dengan lebih kemas lagi. Sesungguhnya ketika itu adalah masa paling nikmat untuk tidur.

Namun, pada kesukaran inilah tersembunyi suatu rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui hamba-Nya. Sekalipun sembahyang Tahajud sekadar sunat, tetapi kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi nilainya. Firman Allah s.w.t bermaksud:

“Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.’ (Surah Al-Israk: Ayat 79)

Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sembahyang Tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya.

Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi mereka yang biasa, ia menjadi suatu kenikmatan pula.

Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan sembahyang Tahajud.

Di waktu inilah - iaitu sepertiga malam, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis Riwayat: Abu Daud)

Sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada Allah bukan sesuatu yang mudah. Allah mengasihi orang yang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan yang dilarang.

Sembahyang Tahajud satu suruhan Allah dan oleh itu Allah menyayangi mereka yang mengerjakan sembahyang ini.

Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun melakukan Tahajud di tengah malam.

Sebaliknya, orang yang lemah imannya akan berasa berat untuk menolak selimutnya walaupun berat selimutnya tidak sampai setengah kilogram.

Sembahyang Tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat lain.

Sembahyang Tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah.

Amalan sembahyang Tahajud bukan hanya diamalkan umat Nabi Muhammad malah umat nabi sebelumnya.

Ini bererti perintah Tahajud bukan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad sahaja.

Saidina Umar Al-Khattab menyatakan fadilat atau kelebihan sembahyang malam dengan berkata maksudnya: “Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (Tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:

a. Jauh daripada segala penyakit

b. Lahir kesan takwa pada wajahnya

c. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia

d. Percakapannya mengandungi hikmat

e. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).

Sementara empat perkara di akhirat ialah:

a. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri

b. Dipermudahkan hisab

c. Cepat melalui Sirat al-Mustaqim – seperti kilat

d. Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.

Walaupun manusia sedar ketinggian kedudukan sembahyang Tahajud, namun sedikit sekali manusia yang mengaku beragama Islam sanggup dan bersedia melakukan sembahyang ini. Bagi mereka, tidur lebih seronok dan lebih utama daripada bersembahyang.

Sesungguhnya, manusia akan berlumba-lumba untuk bersembahyang Tahajud sekiranya mereka dapat merasai betapa nikmatnya melakukan amalan itu.

Keheningan dan kedinginan malam seolah-olah memberi kesempatan kepada seseorang untuk merapatkan lagi jurang hubungan antara makhluk dan Khalik.

Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan berasa hubungannya dengan Allah begitu hampir.

Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat mendapat layanan apabila tidak ramai orang memohonnya.

Oleh itu, mohonlah keampunan dan limpahan rahmat Allah ketika orang lain sedang tidur nyenyak.

Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya.

Sebaik-baik permohonan dan masa untuk berhubung dengan Allah ialah pada waktu malam. Sebab itu, kurangkanlah tidur dan banyakkanlah bersembahyang di tengah malam.

Berbagai sumber








http://aura-hikmah.blogspot.com/2011/07/solat-tahajud.html

No comments: