Friday, 27 November 2009
sedutan dari buku travelog haji
BUKU travelog Haji
i have write about the book here too...
source
prof Kamil or the author's resume here
Kisah 3 tahun yang lampau
Jamaaratul Aqabah Mengubah Segalanya
Sesudah wukuf di Arafah dan mabit (bermalam) di Muzdalifah – kami bertolak ke Mina bagi melakukan ibadat melontar. Walaupun ia mempunyai pelbagai pilihan dan opsyen, saya telah memilih untuk melontar pada setiap hari, iaitu pada 10,11,12 dan 13hb Zulhijjah. Saya membuat pilihan ini setelah bersembahyang hajat, berdoa dan memohon kepadaNya agar diberikan ilham supaya dapat melakukan ibadat melontar dengan cara yang terbaik.
Terbaik untuk kami sekeluarga!
Mengikut jadual, kami akan melontar Jamaratul-Aqabah secara berkumpulan pada sebelah malam, 10 Zulhijjah. Pada masa tersebut dikatakan keadaannya agak selamat, tidak sesak dan tidak mendapat gangguan daripada mereka yang kurang bersopan-santun.
Berkali-kali saya membelek dan membaca buku panduan haji. Katanya: Waktu yang paling afdhal untuk melontar pada 10 Zulhijjah adalah pada waktu doha’. Sebelum waktu subuh – sekali lagi – saya bersembahyang hajat dan taubat supaya memberi kekuatan akal dan fizikal. Hati saya sudah mula membuat pilihan: Aku mahu yang terbaik tetapi dalam masa yang sama berada di dalam kegelisahan dan ketakutan.
10 Zulhijjah, 7.30 pagi – kami bermesyuarat ringkas dan saya mengemukakan satu pertanyaan kepada Roza, Kak Mie dan Adik Na: “Tabung Haji akan bawa kita pada waktu malam tetapi waktu yang paling afdhal ialah waktu doha. Waktu Doha dikatakan tidak selamat, bahaya dan orang akan bersesak-sesak dengan mereka yang ganas-ganas. Bagaimana?”
Kak Mie: Saya ikut Mil
Adik Na: Na ikut Abe Mil
Roza: Kalau boleh kita pergi waktu afdhal
Kata saya: Hati saya nak waktu doha’. Jadi pukul 9.30 pagi berkumpul di sini.
Tentu sekali saya berbohong jika mengatakan yang saya berasa tenang, aman dan yakin dengan keputusan yang telah saya lakukan. Perasaan ketakutan, teramat takut dengan keselamatan – 3 wanita – yang menjadi tanggungjawab saya. Lalu ketika berkumpul di luar khemah saya membaca doa ini:
“Ya Allah kau ampunilah kami, berikanlah keberkatanMu, berikanlah taufik-hidayahMu dan berikanlah kerahmatanMu. Ya Allah, kami ingin melakukan ibadat melontar pada pagi ini. Dikatakan pada waktu ini adalah waktu yang paling afdhal tetapi keadaannya sesak dan keselamatan tidak terjamin.
Ya Allah kami ingin pergi juga pada waktu ini, kami datang ke sini semata-mata keranaMu Ya Allah. Namun, kami takut Ya Allah. Bersama aku adalah isteriku, adik perempuanku, kakakku, mereka adalah kaum yang lemah, aku tak upaya menjaga keselamatan mereka, aku serah mereka kepadaMu Ya Allah, kau peliharalah keselamatan kami. Hanya engkaulah tempat kami berserah. Berikanlah laluan dan lorongan. Tidak ada yang lebih berkuasa selain daripada Kau. Tidak ada Ya Allah. Ampuni kami Ya Allah. Ampuni kami Ya Allah”
Saya benar-benar ketakutan. Air mata saya mengalir selebat-lebatnya. Ia tidak terkawal. Ia satu doa yang paling kusyuk yang pernah dilafazkan kepada Pencipta saya. Mata Roza, Kak Mie dan Adik Na kemerah-merahan, merasai betapa kami akan melalui satu perjuangan yang cukup besar. Selesai berdoa, Roza memegang tangan kiri saya dan Adik Na memegang tangan kiri Kak Mie. Pesan saya: Ikut saja ke mana abe pergi!
Kami terus melangkah dengan saya membaca “SubhanaAllah” tanpa henti berselang-seli dengan “Rabbil-Yasiir, Walatu-asiir”, “Ya Allah, permudahkan kami, berikan laluan, berikan laluan Ya Allah”. Airmata sentiasa mengalir. Benar, saya benar-benar takut dan berserah kepadaNya. Gema bunyi tapak kaki dan suara ribuan manusia yang melalui terowong Muassim benar-benar memberi perasaan ketakutan yang amat sangat.
Ya Allah, SubhanaAllah, Maha suci Allah, Maha Pengasih Allah – saya tidak berbohong – sepanjang perjalanan kami sejauh 2.9KM, Allah sentiasa memberi ruang di antara 3 hingga 4 kaki dengan mereka yang berada di hadapan kami. Kami bergerak ibarat lipas kudong. Sekejap ke kiri, sekejap kekanan. Yang pasti hati dan mulut kami berzikir tanpa putus.
Lebih kurang 1km daripada Jamarahtul-Aqabah, kami dapat menyaksikan jutaan manusia yang berpusu-pusu melalui beberapa haluan yang berbeza ingin menuju ke tempat yang satu. Aneh, di hadapan kami sentiasa ada ruang untuk kami bergerak, berasa selesa dan selamat. Tiba-tiba saya dan Roza sudah berada di hadapan Jamarahtul Aqabah – di hadapan sekali – untuk mula melontar secara bertenang, tertib dan bersopan-santun. Saya menjeling ke kiri, Kak Mie dan Adik Na ada bersebelahan.
Selepas melontar dan membaca “Doa Lepas Melontar”, terserlah kelegaan, kesyukuran, kenikmatan dan kebahagian yang Allah menyayangi kami. Airmata kami masih mengalir, walaupun dalam keadaan yang cukup perlahan. Saya ungkapkan perkataan ini kepada isteri, Roza:
“Yang, Allah benar-benar menjadikan kita sebagai tetamu yang paling istimewa. Doa kita dimakbulkanNya. Sejak kita sampai di Mekah hingga ke hari ini, Dia sentiasa bersama kita. Dia banyak bagi pengajaran kepada saya. Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Saya banyak dapat petunjuk. Kalau saya balik ke Malaysia, saya masih lagi tak takut kepadaNya, masih buat dejel, saya tak tahulah saya ni jenis manusia apa, saya adalah sejahat-jahat manusia”
Ketika pulang ke Khemah, fikiran saya merenung jauh – Maha Suci Allah – Aku serahkan segala-galanya kepadaMu. Besok, kami akan melontar di ketiga-tiga jamrah ketika waktu yang paling afdhal – selepas gelincir matahari – seawal-awalnya!
Benar, pengalaman saya di Jamarahtul-Aqabah mengubah ‘contents’ seorang manusia!
source
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment