dari blog fuad latip
kesedaran .....
===========
Di dalam Neuro Lingustic Programming NLP, terdapat satu teknik yang dikenali sebagai ‘Meta Model‘. Teknik adalah bertujuan untuk memerincikan sesuatu masalah agar mudah untuk diselesaikan.
Contohnya, jika saudara mempunyai masalah perasaan tidak suka dengan kawan saudara sehingga tidak bertegur sapa atau ingin memutuskan perhubungan, cuba perincikan dengan beberapa soalan seperti:
1. Sikap yang mana pada rakan saudara yang saudara tidak suka?
2. Sebelum ini hubungan saudara baik atau tidak dengan rakan saudara itu?
3. Apa yang membuatkan saudara benar-benar terasa dengan rakan saudara itu?
dan pelbagai lagi soalan-soalan yang lebih spesifik untuk mencari punca utama saudara tidak suka dengan rakan saudara. Percayalah, akhirnya barulah saudara ketahui sebenarnya masalahnya cuma sedikit sahaja dan tidak perlu sehingga putus persahabatan.
Meta Model Di dalam Doa
Berapa ramai di antara kita yang benar-benar tersentuh jiwanya ketika berdoa? Sejauh mana kita terasa diri ini adalah hamba ketika berdoa kepada Allah?
Saudara, jika saudara gunakan teknik ‘meta model’ saya amat yakin saudara akan mengalirkan air mata tanpa sedar ketika berdoa. Malah tidak mustahil saudara juga akan menjadi seperti saya akan terus sujud tanpa sedar setiap kali berdoa. Juga pastinya diri kita akan rasa terlalu malu untuk memohon perkara lain yang kita inginkan daripada Allah.
Bagaimana mengaplikasikan meta model ketika berdoa?
Langkah 1
Untuk bahagian doa yang pertama, perincikan segala apa yang saudara miliki samada masa lalu dan juga masa kini. Komunikasi pada Allah, ucapkan terima kasih pada Allah kerana memberi semua rezeki yang saudara perolehi. Sebutkan satu persatu rezeki yang saudara perolehi dengan jelas.
Ya Allah, terima kasih ya Allah kerana menjadikan aku berada di tahap aku sekarang ini. Engkau telah kurniakan isteri/suami dan anak yang dapat membahagiakan diriku ya Allah. Engkau telah berikan aku kerja yang baik di saat orang lain diberhentikan kerja ya Allah. Engkau berikan aku makan sedap setiap hari ya Allah. Engkau beri aku ilmu setiap hari ya Allah.
ya Allah Maha Kaya Engkau memberikan aku kesihatan. Aku boleh jalan ke sana sini dengan isteri/suami dan anak-anak ya Allah. Semalam aku pergi bercuti ke ….. ya Allah. Engkau gembirakan hati kami ya Allah. Engkau tenangkan hati kami ya Allah. Seronoknya ya Allah.
Engkau beri aku rezeki kereta untuk kami jalan ke sana sini. Kemudian semalam kami pergi membeli belah ya Allah. Engkau beri aku rezeki berupa wang membolehkan aku beli baju isteri/suami dan anak-anak ya Allah. Engkau beri aku nafas ya Allah. Engkau beri aku masih boleh makan apa saja yang aku inginkan ya Allah. Banyaknya rezeki yang Engkau berikan kepada ku ya Allah.
Di atas ini adalah contoh doa yang tidak lagi benar-benar spesifik. Saudara spesifikkan sebanyak mungkin agar kita benar-benar terasa banyaknya sebenarnya nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan kepada kita. Spesifikkan sehingga ke tahap cth: ya Allah Engkau telah izinkan aku makan nasi ayam tadi ya Allah. Engkau beri nasi ayam yang sedap ya Allah. Terima kasih ya Allah ……….
Langkah 2
Untuk bahagian ini, saudara perincikan pula segala dosa-dosa yang pernah saudara lakukan daripada yang besar sampailah ke sekecil-kecilnya.
Ya Allah, aku solat subuh lambat pagi tadi ya Allah. Aku lebih utamakan kerja aku daripada diriMu ya Allah. Aku marahkan orang ketika memandu tadi ya Allah. Aku jarang mengingati diriMu ya Allah. Teruknya aku ini ya Allah. Bodohnya aku ini ya Allah. Lemahnya diri aku ini ya Allah. Ya Allah, aku lebih suka tengok tv daripada segera bersolat ya Allah.Aku suka menonton hiburan-hiburan yang melalaikan ya Allah lebih daripada mengingati diriMu ya Allah.
Ya Allah, aku marah anak aku tadi ya Allah. Aku marah disebabkan kesalahan yang kecil sahaja ya Allah. Aku menyakiti hati suami/isteri aku tadi ya Allah. Mereka juga makhlukMu ya Allah. Aku berlaku salah dengan makhlukMu ya Allah. Maafkan aku ya Allah.
Langkah 3
Memohon maaf dengan Allah setiap kesalahan yang dilakukan. Minta maaf dengan sebenar-benarnya. Bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Tidak akan bahagia dan tenang jiwa selagi kita tidak bertaubat pada Allah.
Langkah 4
Memohon segala apa yang diinginkan daripada Allah. Memohon dengan mengikut protokol doa yang dijelaskan sebelum ini.
Pengalaman saya melakukan doa mengikut teknik meta model ini, saya tidak mampu meneruskan langkah 4 ini. Terasa amat malu pada Allah kerana terlalu banyak yang telah Allah berikan kepada saya tetapi banyak sangat kesalahan yang dilakukan pada Allah.
Lalu saya tidak mampu untuk memohon kepada Allah. Saya cuma mampu berkata :
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu segala kebaikan untuk diriku yang mana kebaikan itu adalah yang terbaik disisiMu. Hindarkan aku dari menjadi hamba yang lupakan diriMu. Ingatkan aku sentiasa untuk mengingati diriMu ya Allah. Wujudkan perasaan cinta kepada diriMu di dalam hatiku ya Allah”
***
Saudara, lakukan doa menggunakan teknik meta model dan saudara pasti akan menitiskan air mata sehingga saudara tanpa sedar akan sujud kepada Allah. Saudara akan rasa diri ini terlalu jauh untuk mendapatkan redha Allah. Terlalu banyak lagi ibadah yang perlu dilakukan dan terlalu banyak kesalahan yang perlu meminta keampunan Allah.
Sentiasalah ingatkan Allah dengan berkomunikasi dengan Allah. Komunikasi merupakan faktor utama mendapat CINTA Allah dan juga mewujudkan rasa cinta pada Allah di dalam hati kita. Komunikasilah….komunikasilah dengan Allah.
Pendidikan Melangkaui Peperiksaan
12 hours ago
No comments:
Post a Comment