Tuesday, 24 May 2011

Al-Hadid, ayat 4: …. Dia (Allah) sentiasa bersama kamu di mana sahaja kamu berada” ….

Al-Hadid, ayat 4:
…. Dia (Allah) sentiasa bersama kamu di mana sahaja kamu berada” ….


suka entri prof yang ini...


“berdoa bukanlah soal doa itu dimakbulkan atau tidak, ia soal kebegantungan kita kpd Allah SWT. Ia soal tauhid”

Insya-Allah akan terus berdoa…moga dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.




===


source


http://muhdkamil.org/blog/2011/05/24/allah-ya-allah/



Pada hujung perjalanan kami di Beijing, saya berbisik [nota: tazkirah yang tidak dirancang] dengan Ustaz Nawawi betapa saya berjumpa dengan sesuatu yang lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ia pandangan sisi bagaimana mahu sentiasa hampir, tunduk dan patuh kepadaNya.

Lalu saya mula bercerita. Beijing adalah bandaraya ketiga terbesar di China. Jumlah penduduknya hampir 20 juta. Saya membayangkan perjalanan harian yang sukar. Kami pastinya akan berhadapan denganhalangan kesesakan jalanraya yang melampau.

Mungkin kami lebih banyak berada di dalam kenderaan berbanding dengan masa-masa di tempat yang sepatutnya kami lawati.

Saya nyatakan pada ustaz, “setiap pagi saya bangun solat dan berdoa kepada Allah, ya Allah Kau permudahkan urusan kami, permudahkan perjalanan kami, jauhilah kami daripada kesesakan jalanraya, kemalangan, mara bahaya, mudahkanlah kami untuk beramal ibadat……. ”

Cuba ustaz perhati dan ingati, kita melihat kesesakan tetapi kesesakan itu datangnya daripada arah yang berlawanan. Kita dinyatakan, perjalanan daripada bandar Tianjin ke lapangan terbang hanya 14 km tetapi akan mengambil masa hampir satu jam kerana kesesakan jalanraya. Ia lumrah di sini.

Rombongan kita tidak begitu. Perjalanan kita tidak sampai pun 30 minit. Saya memerhatikan soal sekecil ini dan berfikir, ya Allah Kau makbulkan doa-doa yang kami pohon kepada Mu.

Bila kelihatan ada tanda-tanda kesesakan akan berlaku, hati saya terus-terusan memohon doa, ya Allah permudahkanlah perjalanan kami, ya Allah permudahkanlah. Dan perjalanan kita – pada fikiran saya – tidaklah terlalu membebankan.

Dan doa dan harapan ini mungkin juga dilafazkan oleh beberapa orang yang lain”.

Sekali pandang, kata-kata yang saya lafazkan itu membayangkan saya seorang yang sangat riyak, takbur dan berasa sangat hampir denganNya. Saya tahu… itulah pandangan mungkin yang terlintas di hati khalayak pembaca jika saya berhenti menulis di sini.

Ia tidak begitu.

Ada isu yang lebih besar yang Allah ilhamkan setelah melalui peristiwa-peristiwa tersebut yang boleh dikongsi pula dengan mereka yang berfikiran terbuka. Malah ia akan menjadi lebih mudah jika khalayak pembaca mahu menjadi manusia yang lebih hampir denganNya. InsyaAllah.

Lalu saya menyambung kata,

“Ustaz, tentu sekali kesemua rombongan kita menikmati kemudahan yang sama. Tiada kesesakan. Cepat sampai ke lapangan terbang. Terasa bahagia kerana tiada sebarang kemalangan. Damai kerana tiada mara bahaya.

Apakah mesej sebenar yang ingin saya sampaikan?

Sepanjang perjalanan ini, saya terasa-rasa Allah memakbulkan doa yang dipohon. Saya rasa Allah sangat Mendengar. Saya rasa Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saya rasa perasaan dipermudahkan adalah kerana Allah. Secara lebih tepat, Allah ada di Beijing.

Bagaimana dengan Ustaz? Bagaimana dengan yang lain? Apakah ada perasaan yang sama? Adakah ia berlaku seolah-olah “rutin biasa”, berlaku secara mujur dan kebetulan? Dan kemudian, ia berlalu begitu sahaja. Adakah kita menyebut-nyebut, “alhamdulillah, aku bersyukur di atas segala kemudahan yang telah engkau berikan”.

Hakikat sebenar, kekuasaan Allah itu terlalu luas. Berdoa atau tidak, memohon atau tidak, Allah boleh memberi segala kemudahan tanpa sedikit pun mengurangkan apa yang Dia ada. Allah boleh memberi kepada hambaNya tanpa perlu kita merayu-rayu.

Boleh… Dia Maha Berkuasa. Malah orang-orang kafir juga turut menikmati nikmat yang sama.

Bezanya, adakah kita akan menjadi manusia yang bersyukur? Apakah kita mengaitkan setiap kejadian itu dengan sifat-sifat Allah? Paling penting, apakah ia mendekatkan diri kita kepadaNya.

Perasaan seumpama ini nyata lebih terkesan apabila menunaikan fardhu haji. Saya fikir, saya menangis memohon agar dipermudahkan semasa ingin melakukan ibadat melontar pada hari pertama – di waktu dhuha – di Jamrahtul Aqabah. Sesuatu yang kelihatan sukar menjadi terlalu mudah di sisi Allah.

Pastinya, ia pengalaman yang telah mengubah seluruh kehidupan saya.

Akhirnya, saya ucapkan kata-kata berikut kepada Ustaz Nawawi, “berdoa bukanlah soal doa itu dimakbulkan atau tidak, ia soal pergantungan kita kepada Allah SWT. Ia soal tauhid. Itulah yang mendekatkan kita dengan Dia, setiap saat, sepanjang masa, tidak kira kita berada di Mekah, Madinah, Malaysia ataupun di Beijing”.

Pada satu ketika yang lain, Ustaz Nawawi memeluk saya sekemas-kemasnya. Ada getar di sebalik pelukan tersebut. Mungkin kami berdua mendapat banyak ilmu “pengalaman” sepanjang 6 hari 5 malam di satu kawasan yang penduduknya - lebih 1 bilion – tidak mempercayai kewujudan Allah SWT.

Saya mohon keampunan Allah atas tulisan ini.


===


thanks prof

No comments: