Wednesday, 18 May 2011

lagi buku yang nak di beli. bila? bila bila ada rezeki Allah nak bagi



another book to read or buy,


when i come back home to Malaysia






ASAS FALSAFAH DAN PEMIKIRAN MELAYU BERTERASKAN ISLAM
Prof. Dr. Awang Sariyan
IKDAS
RM 15.00




Buku ini merupakan kupasan terperinci tentang falsafah dan logika pemikiran Melayu yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri bangsa Melayu. Islam telah menjadi unsur penganjak paksi tamadun Melayu daripada pemikiran yang bercampur baur antara fahaman animisme dengan unsur-unsur Hindu-Buddha yang tidak pula jelas jalur dan polanya dalam sistem pemikiran dan falsafah bangsa Melayu. Membaca buku ini akan menjernihkan pemikiran kita dalam memahami intipati pemikiran dan kebudayaan Melayu di Malaysia.



===


terjumpa sinopsis oleh penulis buku disini









Buku Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam (oleh Awang Sariyan)

Pengenalan

Tamadun Melayu telah melalui jalan sejarah yang panjang. Asasnya dipercayai telah bermula lebih dua alaf lalu, dengan peningkatannya yang mula nyata apabila terasas kerajaan-kerajaan Melayu lama seperti Funan, Campa, Langkasuka dan Sriwijaya. Tamadun Melayu pada zaman Sriwijaya yang bermula pada abad ke-7 Masihi seringkali dirujuki sebagai permulaan pertumbuhan dan perkembangan tamadun Melayu yang gemilang, disebabkan kekuatan kuasanya sebagai kuasa politik maritim yang luas wilayah jajahan takluknya sehingga sampai di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu dan dan di Thailand selatan, iaitu kawasan yang dikenal sebagai Segenting Kera, bahkan diketahui pula mempunyai hubungan sehingga sampai di Sri Lanka (menurut catatan dalam peta lama di Arkib Negara Sri Lanka yang diperlihatkan kepada penulis oleh Pengarah Arkib berkenaan pada tahun 2002).

Sriwijaya terkenal juga disebabkan peranannya sebagai kota pelabuhan perdagangan dan pusat pengajian agama Buddha sehingga I Cing, ahli agama Buddha dari tanah besar China bermukim selama enam bulan di ibu kota Sriwijaya untuk bergiat dalam pengajian agama itu. Bahasa Melayu kuno yang asasnya dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit, baik dalam hal kosa kata dan tulisannya, telah berperanan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama pada zaman pra-Islam itu.

Namun demikian, tiadalah jelas pada kita yang mewarisi tamadun Melayu kini bahawa asas falsafah dan pemikiran Melayu berteraskan falsafah Hindu-Buddha yang mewarnai tamadun Melayu dalam zaman kuno itu. Sebaliknya, falsafah dan pemikiran Melayu dengan amat ketara berteraskan Islam sebagai agama yang meliputi kesempurnaan kehidupan di dunia dan di akhirat apabila risalah Islam sampai di alam Melayu pada sekitar awal abad ke-13 (malah mungkin lebih awal lagi), menurut kajian sarjana seperti Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969 dan 1972).

Zaman sesudah alam Melayu menerima Islam memperlihatkan suatu transformasi tamadun yang amat ketara, yang disimpulkan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai perubahan "rupa" dan "jiwa" atau struktur zahir dan struktur batin masyarakat Melayu-Indonesia.

Kejelasan wujudnya faham-faham falsafah yang berkaitan dengan ontologi (sistem kewujudan pencipta dan yang dicipta), epistemologi (teori ilmu) dan aksiologi (teori dan asas nilai atau akhlak) terpapar dalam sekian banyak karya buah tangan para ulama, pemikir dan pujangga Melayu, baik yang berbentuk prosa mahupun puisi, baik yang dinukilkan dalam karya-karya ilmu kalam, fiqah mahupun metafizik atau tasawwuf.

Malahan amat penting dan menarik bahawa dalam karya-karya yang berbentuk susastera atau dalam zaman moden disebut karya kreatif, asas-asas falsafah dan pemikiran Melayu yang bertunjangkan Islam itu dapat juga dikesan.

Apabila Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirumuskan pada tahun 1971, Islam telah diletakkan sebagai unsur teras pembinaan dan pengembangan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia. Malahan asas pertama Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menegaskan “unsur-unsur kebudayaan asal rantau ini” tidaklah lain daripada merujuk kepada kebudayaan Melayu, dan kebudayaan Melayu itu pula merupakan kebudayaan yang terasnya ialah Islam.

Bahkan penetapan Islam sebagai salah satu ciri Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dengan nyata memperlihatkan kaitan yang amat akrab antara jati diri Melayu dengan Islam. Dalam usaha pencarian setengah-setengah kalangan yang masih meraba-raba untuk menentukan takrif Melayu, pada hemat penulis, hakikat yang sudah terang ada di hadapan mata kita tentang Islam sebagai teras jati diri Melayu itu tidak perlu diragui lagi.

Sudah sampai saatnya kita (pemimpin setiap sektor kehidupan – politik, ekonomi, undang-undang, pendidikan dan yang lain) dengan sedar dan serius menumpukan upaya dan perhatian untuk merangka pelan tindakan dan melaksanakan program yang berkaitan dengan segala aspek kehidupan yang berpaksikan sistem dan nilai anjuran agama tanzil itu.

Selama sistem kehidupan dalam semua sektor itu tidak diasaskan pada acuan dan lunas yang disediakan oleh pengatur yang maha sempurna, iaitu Allah, dan selama sistem kehidupan masih berteraskan lunas yang semata-mata terhasil daripada akal manusia yang terbatas dan lebih cenderung pula kepada pengaruh hawa nafsu, maka selama itulah tidak tercapai barakah dalam kehidupan masyarakat. Sebaliknya musibah demi musibah menimpa sekalian kita.

Buku ini sekadar pembicaraan umum dan ringkas tentang asas-asas falsafah dan pemikiran Melayu yang berteraskan Islam. Kandungannya merupakan peluasan dan pengolahan semula bahan kuliah penulis untuk kursus wajib di Akademi Pengajian Melayu, Univerisiti Malaya, iaitu "Falsafah dan Logika Melayu". Sebahagian besar bahan, terutama yang berkaitan dengan falsafah, didasarkan pada bab-bab awal tesis doktor falsafah penulis (1997). Bab tentang logika (Bab 7) sebahagiannya didasarkan pada mimeograf Hashim Musa (2004) yang berjudul “Logika”, iaitu salah satu bahan asas kurus Falsafah dan Logika Melayu yang pada waktu itu dikendalikan olehnya, di samping buku Pemikiran Kritis oleh Lok Chong Hoe (1984).

Pada asasnya buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Beberapa bab mengupas falsafah dan logika secara teoretis dengan menjelaskan konsep-konsep pentingnya. Beberapa bab atau bahagian dalam bab tertentu memperlihatkan penerapan falsafah dan logika dalam beberapa ranah kehidupan dalam tamadun Melayu.

Penerapan itu dengan jelas dapat dibaca dalam bab yang membicarakan aspek falsafah pendidikan dan implikasinya dalam sistem pendidikan di negara ini (Bab 4, 5 dan 6). Selain itu, diusahakan juga, dengan cara yang ringkas dan terbatas, gambaran falsafah dan logika Melayu dalam beberapa contoh karya persuratan Melayu, yang berbentuk prosa dan juga yang berbentuk puisi (Bab 8).

Amat banyak karya persuratan Melayu yang menampilkan falsafah dan logika Melayu, khusunya yang berteraskan Islam. Sebahagiannya telah dikaji dan diterbitkan tetapi banyak lagi kupasan mendalam yang perlu dilakukan tentang karya-karya persuratan Melayu untuk memahami dan menghayati falsafah dan logika Melayu.

Buku ini ibarat “Tiada rotan, akar pun berguna”. Selain aspek kandungannya yang serba sederhana, barangkali di sana sini terdapat kekurangan lain yang harus dimaafkan oleh pembaca. Mudah-mudahan pada kesempatan lain, kupasan yang lebih menyeluruh dan mendalam dapat diketengahkan.



Prof. Dr. Awang Sariyan
Profesor Bahasa Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
(Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China

Jun 2010

dari blog beliau







source or boleh beli kat pondok buku ini..





======


or nak beli buku ini jugak






FALSAFAH KETUHANAN
Prof. Dr. HAMKA
Pustaka Dini
RM 15.00

byk nye nak beli ...


huhuhu library awam kl ade tak buku buku ini agaknya.....

kalau ade rezeki dan panjang umur insyaAllah jika izin Allah nak beli,. amin.


amin


















No comments: