Tuesday 10 May 2011

ceramah “Saya Bekerja Di Riyadh”.

ceramah “Saya Bekerja Di Riyadh”.


ni bukan ceramah tapi source surat dari blog prof kamil....


saya suka last nasihat nasihat utk kerja over the sea


http://muhdkamil.org/blog/2010/10/11/surat-dari-riyadh/




Surat dari Riyadh

Assalamualaikum dan salam hormat kepada semua pelajar,

Didoakan agar semuanya berada dalam keadan sihat sejahtera hendaknya di dalam menempuhi alam universiti. Status “pelajar universiti” merupakan satu pengiktirafan yang tinggi oleh masyarakat kerana anda merupakan orang yang bijak pandai serta terpilih di antara ribuan lagi remaja yang tidak mendapat peluang yang sama. Anda sepatutnya berbangga dengan status ini kerana anda adalah “cream of the society”. Lebih tinggi ilmu anda, lebih tunduk merendah diri kerana ini semua anugerah Allah kepada anda.

Boleh saya akui yang setahun mengajar di UiTM Segamat antara tempoh paling manis sepanjang dunia pekerjaan saya. Banyak yang saya pelajari daripada para pensyarah, staf bahkan para pelajar.

Tiba-tiba saya ditawarkan jawatan di syarikat Etihad Etisalat (Mobily), sebuah syarikat telekomunikasi yang berkembang pesat di rantau Arab ini. Sebelum itu, saya telah beberapa kali ditawarkan pekerjaan di Arab yang bergaji lima angka, tetapi saya tolak kerana setiap kali tawaran datang, masa agak kurang sesuai.

Izinkan saya memberikan sedikit gambaran dunia pekerjaan di luar negara. Bukannya untuk menggalakkan “brain drain” di Malaysia, tetapi sebagai persiapan untuk anda semua menghadapi dunia pekerjaan yang semakin global. Cantik bunyinya, dan mungkin belum anda fahami lagi, tetapi saya ingin mengingatkan yang cabarannya cukup besar.

Istimewanya di sini, sangat hampir dengan Mekah dan Madinah. Itu sebab utama saya menerima tawaran kerja di Riyadh. Dalam setahun boleh beberapa kali pergi Umrah ke Mekah dan ziarah Rasulullah di Madinah. Tidak dapat saya gambarkan betapa indahnya perasaan apabila sujud di dataran Kaabah, ataupun berdoa di Raudhah di Masjid Nabawi. Airmata bagai tidak dapat ditahan-tahan, dan kemanisan berada di situ tiada bandingan. Anda juga harus berazam untuk sampai ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Cuaca di Riyadh sangat ekstrem. Pada musim panas (Mei – September), suhu secara purata melebihi 40⁰ Celcius, ada harinya melebihi 50⁰ Celcius. Pada musim sejuk pula, suhu hampir ke takat beku. Bersyukur sangat kerana kita dianugerahkan negara yang sangat cantik dan cuaca yang sangat nyaman.

Kalau hendak diceritakan pula lagak dan gelagat masyarakat di sini, rasanya boleh dijadikan sebuah novel yang tebal. Di sini orang lelaki agak kasar dan kadang-kadang biadap (mengikut standard orang Melayu). Kita kena belajar “peluk Arab” sambil menggeselkan pipi dan bunyi “cup, cup, cup” seolah-olah mencium pipi mereka yang dipenuhi jambang. Bagi yang perempuan, di Saudi tidak boleh keluar berseorangan atau memandu kenderaan. Bila berada di luar rumah, wanita mesti menutup muka dengan “burka”.

Anda juga mungkin terperanjat bila mendengar pekerja-pekerja Filipina (dipanggil Pinoy di sini) fasih berbahasa Arab, sedangkan mereka bukan beragama Islam. Malu juga kita yang sejak kecil didengarkan perkataan Arab, tetapi masih tidak pandai bercakap Arab.

Apabila kita berada di luar negara, kita menjadi masyarakat minoriti. Masyarakat minoriti selalunya tidak mendapat keistimewaan yang biasanya kita rasai di Malaysia. Saya tidak gemar membeza-bezakan sesama manusia, tetapi ini realitinya di sini. Kita dilihat sebagai komuniti “kelas kedua” manakala orang putih dari Barat diberikan layanan kelas istimewa. Sekurang-kurangnya kita baik sedikit daripada pekerja Pakistan, India, Bangladesh atau Filipina yang dianggap sebagai “kelas bawahan”.

Juga, kita bertuah rakyat Malaysia amat dihormati kerana kita dilihat sebagai negara Muslim yang maju. Pada pandangan ramai di sini, Malaysia dilihat setaraf dengan Jepun, Korea, Singapura dan China. Rakan-rakan Arab yang pernah melancong ke Malaysia jatuh cinta pada keindahan negara kita dan budi bahasa rakyat Malaysia. Ada yang sudahpun merancang untuk kembali dan bersara / berhijrah ke Malaysia melalui program “Malaysia My Second Home”.

Walaupun begitu, tidak dinafikan yang orang kita di sini kadangkala diketepikan daripada peranan penting kerana bilangan kita yang sedikit serta tidak fasih berbahasa Arab. Kebanyakan pekerja di sini datang dari Mesir, Pakistan, India, Bangladesh dan Filipina. Mereka telah membina “empayar” di sini melalui jaringan komuniti yang kuat, sama ada di pejabat mahupun di luar pejabat. Negara mereka miskin dan bermasalah. Jika mereka hilang pekerjaan di sini, mereka akan merempat di negara mereka sendiri. Oleh itu, mereka menjadi terlalu “defensive” dan kurang membantu kerana takut kita akan mangambil kerja mereka.

Menyedari yang kita selalu diketepikan, akan timbul satu semangat untuk bekerja lebih kuat daripada orang lain. Kita tebalkan muka mencari maklumat ke hulu ke hilir. Walaupun dimarah, ditegur dan ditertawakan berulang kali oleh ketua dan rakan-rakan, kita kena senyum dan perbaiki kerja kita sehingga kita menjadi paling cemerlang dalam kerja yang diberikan. Hasilnya, walau apa pun peranan yang diberikan kepada kita, kita akan diakui sebagai pakar dan tempat rujukan dalam berbagai perkara.

Itu di rantau Arab. Sekiranya anda ingin meneroka negara “Mat Saleh” keadaannya nyata berbeza. Orangnya lebih berbudi bahasa dan cara pemikiran lebih terbuka. Pengalaman bekerja di unit antarabangsa sewaktu di Telekom Malaysia dahulu banyak memberi peluang saya memerhati dan mempelajari budaya kerja rakan-rakan dari UK, US, Jerman, Perancis, Itali, Jepun, Korea, Singapura dan sebagainya.

Secara ringkasnya, orang di negara maju mempunyai beberapa sikap yang sepatutnya ditiru oleh kita bangsa Melayu. Antaranya rajin membaca, menepati masa, berjalan pantas, menghormati orang lain dan bersopan santun. Di samping itu, mereka akan berusaha kuat untuk cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi, sama ada pelajaran, perniagaan, sukan dan sebagainya. Lebih baik lagi jika mereka Muslim.

Pengalaman saya ke Finland, Belgium, Holland, Vietnam, India, Oman dan New Zealand untuk mesyuarat, menjalani latihan, melancong dan mencari kerja sebelum ini juga banyak memberi keinsafan betapa Allah sayangkan kita. Banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita yang tidak dapat diceritakan dengan perkataan. Anda mesti melaluinya sendiri, dan setelah itu cuba renungkan kehebatan ciptaan Tuhan. Cuba tanya diri “Kenapa Allah letak aku di sini ? Mesti ada sesuatu yang Allah ingin aku pelajari / sumbangkan.”

Sebagai contoh, Mekah dan Madinah adalah tempat paling suci bagi kita umat Islam, tetapi orang-orang yang kita temui di sana kebanyakannya sangat kasar, suka bertengkar dan menipu. Sebaliknya pula di Amsterdam, di mana ganja, pelacuran dan pornografi berleluasa. Orang-orangnya sangat peramah, berfikiran terbuka dan suka membantu. Kenapa begitu? Pasti ada sesuatu yang Allah ingin kita pelajari.

Sebelum berundur, izinkan saya memberi cabaran ini kepada anda. Di luar sana persaingan sangat hebat. Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk mengembara melihat dunia luar, mencari ilmu dan pengalaman serta menaikkan nama bangsa Melayu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda penuhi.

1. Pencapaian akademik : sekurang-kurangnya CGPA 3.00 ke atas kerana anda bersaing bukan sahaja dengan siswazah tempatan, tetapi dengan orang dari negara yang lebih maju. Pencapaian akademik anda mencerminkan sikap dan disiplin anda apabila diberikan sesuatu tugasan kelak. Tugasan anda sekarang adalah untuk belajar. Bagaimana kami hendak mengambil anda bekerja jika tugasan semudah inipun tidak dapat anda laksanakan dengan cemerlang ?

2. Agama : mulai sekarang, perlahan-lahan biasakan diri untuk melakukan solat sunat tahajjud, taubat dan dhuha secara istiqamah. Solat berjemaah dan banyakkan baca Al Quran. Daripada pengalaman kami, terlalu banyak keistimewaan apabila anda melakukan amalan-amalan ini.

3. Bahasa : sekurang-kurangnya fasih berbicara dalam Bahasa Inggeris. Bagaimana hendak bermesyuarat dengan orang Arab, Eropah, Jepun atau China jika anda cuma tahu berbahasa Melayu ? Bagaimana hendak bertanya arah jika sesat di Mumbai atau Helsinki jika tidak tahu berbahasa Inggeris? Jangan risau, takkan kurang Melayu kita jika pandai berbahasa asing. Kami sekeluarga masih suka makan nasi goreng ikan masin, sambal belacan, mi bandung Muar dan lontong walaupun bercakap Bahasa Inggeris, sedikit Bahasa Arab, dan sekarang sedang belajar Bahasa Perancis.

4. Tatacara berkomunikasi : peramah dan pandai menyesuaikan diri bila berkomunikasi dengan pegawai atasan, rakan sekerja, orang kampung dsb. Peluk ibu bapa anda. Beri salam serta senyum dan hormati para pensyarah, pengawal keselamatan, makcik “cleaner”, pakcik tukang kebun dan staf universiti. Mereka adalah pengganti ibu bapa anda semasa di kampus. Berkat doa mereka akan banyak membantu kejayaan masa depan anda. Saya cadangkan anda baca dan asah kemahiran yang diajar dalam buku “How To Win Friends And Influence People” tulisan Dale Carnegie.

Umur yang anda ada sekarang tidak akan datang lagi selepas ini. Gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk mempersiapkan diri anda. Jangan mudah terikut-ikut dengan kawan-kawan yang suka membuang masa. Kejayaan anda adalah hasil usaha kuat anda sendiri, diiringi doa bersungguh-sungguh dan tawakkal.

Saya memohon maaf jika ada terkasar bahasa atau tersinggung perasaan anda. Saya doakan anda semua lebih kuat berusaha untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing. Saya harap anda semua dapat menjadikan diri anda pelajar paling cemerlang, dan boleh bersaing dengan siswazah dari universiti antarabangsa apabila memohon kerja nanti. Saya doakan anda semua menjadi manusia paling cemerlang, di dunia dan Akhirat.

Wassalam.
HISYAMUL ARIFFIN BIN BACHEK
Senior Accountant – General Ledger
Finance Department
Etihad Etisalat Company (Mobily)
Riyadh, Kingdom of Saudi Arabia




http://muhdkamil.org/blog/2010/10/11/surat-dari-riyadh/

2 comments:

Unknown said...

wah best

CY said...

Alhamdulillah tqsm 4 d in4. Semoga encik sukses selalu.