Thursday, 4 August 2011
Keburukan Dunia, Intipati Ihya' Ulumuddin
Ayat Al-Quran yang menghuraikan tentang keburukan dunia atau yang sehubungan dengannya amat banyak. Sebahagian besar ayat Al-Quran itu menyatakan pelbagai masalah yang bersangkutan dengan keduniaan iaitu keburukan dunia yang telah memalingkan perhatian makhluk daripadanya serta mengajak mereka untuk lebih memerhatikan soal akhirat. Malahan perkara-perkara sedemikian itulah yang merupakan tugas dan tujuan dakwah yang dibawa oleh para Nabi AS. Mereka semua itu tidaklah diutus oleh Allah SWT melainkan untuk maksud tersebut di atas. Oleh sebab itu rasanya tidak perlu lagi di sini dikemukakan ayat Al-Quran tadi, sebab sudah jelas sekali. Cuma ada baiknya sekiranya di sini dicantumkan hadith-hadith yang bersangkutan dengan soal-soal keduniaan itu.
Pada satu ketika, Rasulullah SAW berjalan melalui seekor kibas yang telah mati, lalu Baginda SAW berkata (dalam hadis yang bemaksud):
"Bagaimanakah pendapatmu semua mengenai kibas ini. Adakah ia hina (tidak berharga sama sekali) bagi pemiliknya? Para sahabat menjawab:"Benar dan kerana tidak berharga lalu mereka buangkan saja." Baginda SAW bersabda lagi: Demi zat yang jiwaku ada di dalam kekuasaanNya, bahawa dunia ini lebih hina di sisi Allah dari kibas yang mati ini bagi pemiliknya. Andaikata dunia ini disisi Allah dianggap menyamai harga selembar sayap seekor nyamuk, tidaklah ia akan memberi minum kepadda seorang kafir seteguk pun daripadanya"
(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Hakim)
Baginda SAW bersabada pula (dalam hadis yang bermaksud):
"Mencintai dunia adalah pokok dari segala kesalahan."
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Dunya dan Baihaqi)
Ada pula sabda Rasulullah SAW yang berbunyi (dalam hadis yang bermaksud):
"Sesungguhnya dunia ini adalah manis dan hijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu semua sebagai khalifah (penghuni) di situ, maka akan diperiksa bagaimana kamu semua beramal"
(Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah)
a) Keburukan Dunia
Ketahuilah bahawa sekadar mengetahui keburukan dunia itu belum dianggap cukup selagi belum diketahui dunia manakah yang dianggap bahaya, apakah dunia itu, atau apakah yang seharusnya dijauhi dari keduniaan tadi, dan yang mana pula tidak perlu dijauhi. Oleh sebab itu, perlu dibentangkan secara ringkas tentang keburukan dunia yang perlu diajuhi, kerana benar-benar merupakan musuh yang memutuskan jalan untuk menemui Allah SWT.
Inilah yang perlu dimaklumkan dan dihuraikan. Dunia dan akhirat diibaratkan sebagai dua keadaan yang dekat atau yang sekarang ini disebut dunia yakni segala sesuatu yang dialami sebelum kematian, sedangkan yang belakang atau yang sesudah itu disebut akhirat iaitu segala sesuatu yang akan dialami setelah kematian.
Maka dari itu, segala yang menjadi milikmu, yang mana dalamnya ada bahagian, nasib, tujuan, syahwat dan kelazatan pada waktu sekarang sebelum mati adalah dunia yang menjadi hakmu. Tetapi tidak semua yang dimiliki itu, yang ada bahagian dan nasibmu di dalamnya merupakan keburukan. Perkara ini bukan sedemikian, sebaliknya dalam perkara ini ada 3 bahagian yang penting:
1) Milik yang akan mengiringi hingga ke akhirat nanti dan tetap dapat dipetik hasilnya setelah kematian nanti. Ini adalah yang berupa ilmu pengetahuan yang bermanfaat serta amal soleh.
2) Milik yang merupakan sebaliknya dari yang pertama; yakni segala sesuatu yang menjadi lawannya yang jauh yakni bahagian yang kontang dan sama sekali tidak akan menghasilkan sesuatu untuk kepentingan akhirat kelak, misalnya bersenang-senang dalam perbuatan maksiat atau berseronok dengan kenikmatan yang melampaui batas yang diperlukan dan akhirnya dapat dikategorikan sebagai berlebih-lebihan dalam mengejar kesenangan lahiriah. Oleh sebab itu segala yang dilakukan seseorang dalam bahagian kedua ini adalah merupakan keduniaan yang amat buruk.
3) Milik yang merupakan pertengahan antara dua keadaan di atas yakni segala bahagian yang kontang, yang ditentukan untuk amalan akhirat, tetapi mahu tidak mahu harus dilaksanakan demi mendatangkan kebahagiaan manusia itu sendiri, misalnya agar tenang kehidupannya serta tetap kesihatannya dan kedua perkara ini akan digunakan untuk menuju kepada ilmu pengetahuan dan amal soleh.
Contohnya ialah makan minum, berpakaian, berubat dan lain-lain. Semua yang dikerjakan dalam keadaan sebagaimana di atas itu tidak termasuk dalam perkara keduniaan. Tetapi masih tergolong sebagaimana bahagian pertama di atas, sebab ia merupakan perantaraan untuk melaksanakan bahagian yang pertama.
Maka, dari segala sesuatu yang dilakukan atau diperolehi seseorang dengan tujuan untuk dijadikan sebagai perantaraan atau bantuan untuk mencapai ilmu pengetahuan yang bermanfaat serta melaksanakan amalan yang soleh, tidaklah bererti bahawa ia melakukannya untuk keduniaan. Orang tersebut tidak lagi dianggap pencari keduniaan, sebab baginya keduniaan itu adalah sebagai ladang untuk tanaman di akhirat.
Tetapi sebaliknya apabila ada orang yang mengerjakan atau memperolehinya dengan tujuan memuaskan nafsunya sahaja tanpa ada maksud menjadikannya perantaraan untuk menuju akhirat, maka jelaslah bahawa ia adalah semata-mata pencari keduniaan. Ini kerana, bagi orang-orang tersebut dunia tiada hubungan terus dengan akhirat. Agaknya memang ia tidak memerlukan kebahagiaan di akhirat itu dan inilah yang lazimnya dikatakan sebagai hawa nafsu dan syahwat. Dalam perkara ini Allah SWT berfirman:
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itulah tempatnya."
(An-Nazi'at: 40-41)
Hawa nafsu terbahagi kepada lima sebagaimana yang dihimpunkan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
"Ketahuilah bahawa kehidupan di dunia itu tidak lain hanyalah hiburan serta perhiasan juga bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak."
(Al-Hadid: 20)
Tentang perkara-perkara yang digunakan sebagai perwujudan dari lima jenis hawa nafsu di atas itu ada tujuh jenis dan juga dihimpun oleh Allah SWT dalam firmanNya:
"Dihiasi manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang terlatih, binatang-binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu untuk kesenangan hidup di dunia."
(Ali Imran: 14)
Ringkasnya ialah segala sesuatu yang dilakukan untuk menuju jalan Allah SWT bukanlah semata-mata keduniaan, sebaliknya segala sesuatu yang tidak ditujukan ke jalan Allah SWT itulah yang dikatakan keduniaan.
dipetik daripada: (Perkara 22) Keburukan Dunia, Intipati Ihya' Ulumuddin Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin oleh Imam Al-Ghazali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment