Tuesday, 21 September 2010

The Back-Up Plan

The Back-Up Plan


source






Dibintangi oleh

Jennifer Lopez, Alex O'Loughlin, Noureen DeWulf, Melissa McCarthy dan Eric Christian Olsen

Genre

Komedi Romantik

Ulasan

Ulasan:

‘The Back-Up Plan’ merupakan sebuah filem ringan yang sesuai ditonton bersama rakan-rakan selepas waktu kerja. Selain menjadikan Jennifer Lopez (J.Lo) sebagai tarikan utama untuk filem ini, produksi filem ini juga mempertaruhkan wajah tampan bintang Australia, Alex O'Loughlin yang kini semakin mendapat tempat di Hollywood.

Sebagai info, sebelum ini O'Loughlin pernah membintangi siri popular ‘The Shield’ sebagai Detective Kevin Hiatt. Dia juga pernah muncul dalam siri ‘Criminal Minds’ sebagai pelakon undangan. ‘The Back-Up Plan’ adalah filem ketujuh lakonan O'Loughlin.

Gandingan J.Lo dan O’Loughlin tidak mengecewakan walaupun J.Lo berusia tujuh tahun lebih tua daripada O’Loughlin. Kedua-dua bintang ini bijak mencari keserasian dan tidak kekok melakonkan babak-babak romantik. Paling penting, J.Lo nampak sebaya dengan hero.

Menyentuh tentang jalan cerita, secara peribadi GUA menyukai idea penulis skrip yang cuba mengetengahkan dilema seorang wanita yang sukar menemui cinta sejati. Filem romantik komedi ini mempertaruhkan jalan cerita ringkas namun mempunyai mesej yang tersendiri. Malah, aspek komedi yang diketengahkan nampak bersahaja dan mampu mencuit hati.

Cuma terdapat beberapa babak yang GUA rasakan digambarkan secara keterlaluan. Contohnya, ketika Zoe (J.Lo) melihat proses kelahiran bayi salah seorang peserta kumpulan ibu tunggal yang disertainya dan ketika Zoe melahap makanan yang dimasak oleh Stan. Memang lucu tetapi berlebihan.

Selesai menonton filem ini GUA dapat membuat kesimpulan, untuk memperolehi cinta sejati, kita harus bersabar dan jangan mudah kecewa jika kekasih yang ditungu-tunggu tidak kunjung tiba. Paling penting, kita harus menjalani hidup dengan positif. Kesabaran adalah kunci kepada kebahagian hidup. Selain itu, cinta sejati juga tidak memerlukan alasan untuk terus hidup bersama. Walau apa pun dugaan mendatang, ia pasti dapat diharungi bersama.

‘The Back-Up Plan’ mengisahkan tentang Zoe, seorang wanita yang punya kerjaya dan kehidupan bahagia. Namun tidak berjaya menemui cinta sejati. Dalam keadaan berputus asa untuk memiliki sebuah keluarga, Zoe akhirnya membuat keputusan untuk hamil secara klinikal.

Setelah menjalani rawatan di sebuah klinik kesuburan, kehidupan Zoe tiba-tiba berubah. Dia jatuh hati kepada Stan, jejaka yang ditemui pada hari yang sama dia mendapatkan rawatan kesuburan. Walaupun Zoe cuba menghindari Stan tetapi lelaki itu tidak pernah jemu untuk mendekatinya.

Ketika cinta sedang berbunga, Zoe mendapati dirinya hamil dan ini menimbulkan konflik apabila dia berterus-terang dengan Stan. Ternyata lelaki itu tidak dapat menerima hakikat yang wanita yang baru dikenalinya telah hamil. Stan merasakan belum tiba masanya untuk dia terikat dengan komitmen sebegitu. Lebih-lebih lagi dia masih belum tamat pengajian dan dalam masa yang sama sibuk dengan perniagaan kejunya.

Zoe yang kecewa dengan penerimaan Stan akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Stan kerana tidak mahu meletakkan lelaki itu dalam keadaan serba-salah.

Info

Filem ini tidak mendapat kritikan yang baik daripada pengkritik-pengkritik filem di Barat. Ramai berpendapat jalan ceritanya ‘klise’ dan mudah dilupakan begitu sahaja. Malah, ada yang menganggap J.Lo tersilap memilih watak setelah lama tidak muncul menerusi filem.

No comments: