Tuesday, 7 September 2010

mari kita sama-sama berada di dalam kesedaran tertinggi melihat aturan Allah SWT




source








Ramadhan hampir meninggalkan kita. Syawal pasti akan menjelang. Di dalam detik beberapa ketika lagi ini, mari kita sama-sama berada di dalam kesedaran tertinggi melihat aturan Allah SWT menjadikan sebuah proses tarbiah atau pemantapan diri yang sejati…jiwa…roh…iaitu kita yang sebenar.

Di kala ini ramai yang berkata dirinya berasa sedih kerana Ramadhan akan kita tinggalkan. Tidak kisahlah samada sedih kerana suasana Ramadhan tidak lagi dirasa di bulan-bulan lain atau sedih kerana tidak dapat ganjaran atau rahmat yang banyak daripada Allah SWT ke atas ibadah yang kita lakukan semasa Ramadhan, Ramadhan tetap akan meninggalkan kita.

Yang utama yang harus dinilaikan adalah kesan Ramadhan ke atas diri kita. Lalu di sinilah kita ingin melihat samada kita sedih atau tidak dengan pencapaian diri kita dengan latihan Ramadhan.

Allah SWT sentiasa memberikan rahmatNya kepada kita tidak kira bulan atau hari atau tahun. Ramadhan sebuah bulan tarbiyah adalah bulan bimbingan secara langsung terus daripada Allah SWT dengan kewajipan kita mengikut latihan ini walaupun suka atau terpaksa. Sebenarnya kita seharusnya setiap saat kembali kepada fitrah tidak kira bulan Ramadhan atau dibulan yang lain.

Cuma perbezaan di bulan Ramadhan, kita disediakan oleh Allah SWT dengan tarbiyah yang diwajibkan. Tidak seperti bulan-bulan lain, di mana puasa yang diwajibkan di bulan Ramadhan cuma menjadi sunat yang digalakkan di bulan yang lain.

Jiwa kita…diri yang sejati ini disucikan lagi dengan zakat fitrah yang juga diwajibkan. Zakat yang bertujuan untuk melatih diri kita melepaskan harta dunia yang sentiasa diidamkan (nafsu) oleh jasad…emosi dan fikiran.

Mengapa jumlahnya sekadar satu cupak beras? Kerana Allah SWT memberi peluang kepada semua baik kaya atau miskin mampu menunaikan zakat ini. Lalu tidak dibebankan dengan syaratnya agar semua kita sama-sama berpeluang di dalam melatih diri kita melepaskan diri dari keterikatan harta yang sementara tidak kira si miskin atau si kaya.

Ramadhan yang kita akan tinggalkan ini jangan dihitung dari sudut berapa banyak rahmat yang Allah SWT berikan atau sediakan di dalamnya. Kerana kita tidak mungkin mampu terhitung rahmat Ilahi yang sedia kita tahu memang telalu banyak.

Di akhir Ramadhan ini yang perlu kita lihat adalah sejauh mana diri kita yang sejati ini mampu melepaskan keterikatan dengan jasad…fikiran dan emosi yang penuh dengan nafsu yang sentiasa ingin berlebihan di dalam sesuatu hal.

Di bulan Syawal ini yang perlu kita nilaikan adakah diri sejati ini sentiasa dekat dengan Allah SWT…diri yang bertaqwa.

Di bulan kemenangan inilah kita mampu menilai jelas bagaimana diri kita menyambut hari kemenangan iaitu menang kerana berjaya kembali kepada fitrah. Bukan sebuah kemenangan kerana mampu berpuasa penuh. Atau menang kerana mampu menunaikan solat terawih cukup 30 malam. Atau menang kerana mampu menahan kehendak nafsu di siang hari namun di malamnya tidak ubah seperti sebelumnya.

Apalah makna kemenangan jika kita sekadar berjaya memungut sebanyak mungkin ganjaran Ramadhan sedangkan diri yang sejati masih tidak berubah. Apalah ertinya sebuah kemenangan jika kita masih lagi bersikap tamak, bakhil dan banyak yang tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT. Apalah ada dengan sebuah kemenangan fitrah jika kita merayakan kemenangan dengan sekadar kegembiraan namun tidak menyedari sebuah pengertian kemenangan ini.

Nanti tidak ubah jadinya sama seperti sekadar mengibar bendera Malaysia di musim kemerdekaan untuk menunjukkan kita ini cintakan negara. Sedangkan roh iaitu diri sejatinya entah ke mana.

Sama juga seperti hari raya Aidilfitri. Sekadar pemberian kad yang cantik atau ucapan dari mulut yang manis memohon maaf namun roh iaitu diri yang sejati entah ke mana.

Aidil Fitri atau perayaan fitrah iaitu kemenangan kita kembali kepada fitrah bersama ketaqwaan kepada Allah SWT dalam diri kita. Kita berpuasa…melatih melepaskan jiwa..diri sejati..roh..diri yang sebenar daripada kehendak (nafsu) jasad yang penuh dengan fikiran dan emosi. Kita tidak mahu lagi mengikut kehendak jasad tetapi kita ingin memimpin jasad ke arah yang diilhamkan oleh Allah SWT.

Diri sejati yang ditarbiyahkan dengan puasa dan zakat akan kembali kepada fitrah iaitu sentiasa ingin dekat dengan Allah SWT iaitu menjadi makhluk yang bertaqwa. Diri sejati yang tidak lagi berada di dalam emosi akan kembali memimpin emosi mengubah keberadaannya berada di atas emosi…di atas rasa.

Diri sejati ini yang berjaya kembali kepada fitrah tidak akan menyambut kemenangan dengan penuh pembaziran. Diri sejati tidak akan menyambut kemenangan dengan berpasang-pasang baju yang hanya tujuannya pasti tidak seiring dengan kehendak Ilahi. Diri sejati tidak akan menyambut kemenangan ini dengan maksiat hasil dari pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

Diri sejati yang bertaqwa pasti sang jiwa yang sentiasa redha dengan kehendak Allah SWT dan redha dengan sesama makhluk. Apabila redha muncul di dalam jiwa, pasti tiada lagi rasa tinggi, ego, riak, takabur dan sifat mazmummah yang lain.

Ketika diri sejati redha meredhai dengan Yang Maha Meredhai, pasti akan diilhamkan ke dalam diri sejati rasa redha sesama makhluk lalu ketika itu maaf memaafi akan terasa kuat…utuh…kukuh di dalam diri.

Ketika memohon kemaafan, mohonlah dengan penuh kesedaran dan ketika memberikan kemaafan, berilah dengan penuh redha….penuh ikhlas dengan penuh kesedaran yang kita benar-benar memaafkan.

Bukan sekadar ucapan sekadar sebenarnya untuk menunjukkan kebaikan atau juga sekadar permohonan sekadar suka-suka bertukar-tukar kad…bertukar-tukar ucapan…bersalam-salaman.

Sambutlah kemenangan dengan diri yang sejati yang benar-benar kembali kepada fitrah. Diri sejati yang bertaqwa kepada Allah SWT. Diri sejati yang dekat dengan Allah SWT. Diri sejati yang memiliki kesedaran tertinggi setiap saat.

Saya dan keluarga memohon maaf di atas kesalahan kami…zahir dan batin..sepanjang perkenalan kita ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Sambutlah kemenangan dengan penuh kesedaran tertinggi.

Taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).

Salam Aidilfitri
Fuad Latip, Liza Zaini, Durrotun Nasihah, Nuqman Afeef.



===


salam untuk Tuan Fuad dan keluarga dan terimakasih atas segala nasihat

No comments: