Monday 13 September 2010

menawarkan skim perladangan kontrak







SEBUAH syarikat berasaskan cendawan, Cima Agro Sdn. Bhd. menawarkan perladangan kontrak kepada mereka yang berminat mengusahakan tanaman tersebut bagi membantu dalam aspek pemasaran.

Syarikat terbabit, yang beroperasi di Kuala Selangor sejak 2002 menawarkan Skim Perladangan Kontrak tersebut bagi membantu mengatasi masalah pemasaran hasil cendawan kepada mereka yang kurang berpengalaman.

Cima Agro pada masa ini mampu mengeluarkan kira-kira 200 kilogram cendawan sehari dengan pasaran utama di pasar raya sekitar Lembah Klang.

Menurut pengarah syarikat, Mazlina Karim, disebabkan syarikatnya telah lama mengusahakan tanaman cendawan, beliau ingin melihat pengusaha lain berjaya dengan berkongsi pengalamannya.

‘‘Saya menawarkan skim perladangan kontrak sejak empat tahun dahulu kepada pengusaha-pengusaha kecil sebelum mereka mampu memasarkannya sendiri,’’ ujarnya.

Beliau berkata, syarikatnya telah dianugerahkan Sijil Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) menawarkan pembelian semula hasil cendawan yang ditanam oleh peserta pada harga RM5 sekilogram.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan Bengkel Usahawan Cendawan Bersama Mega-Utusan Malaysia seperti yang telah dijalankan bersama pihak lain seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Agro Bank.

Menerusi bengkel tersebut beliau akan berusaha memberi banyak kelainan untuk peserta antaranya menawarkan Latihan Intensif dan Praktikal di ladang miliknya.

Ladang syarikat tersebut yang terletak di Jalan Haji Hashim, Bukit Belimbing, Kuala Selangor, berkeluasan satu setengah ekar dan mempunyai lapan buah rumah cendawan berukuran 20 kaki x 100 kaki.

Bagaimanapun, beliau lebih bersedia menerima mana-mana pemohon sekiranya mereka terletak tidak jauh dari lokasi syarikatnya.

Menerusi latihan tersebut, peserta dapat menghayati cara, masalah dan juga penyakit secara praktikal dan bukan hanya teori.

Selain itu, ujar Mazlina, syarikatnya juga mengadakan hari terbuka pada setiap Sabtu bermula pukul 3 petang bagi mereka yang berminat mendapatkan pengetahuan dalam aspek penanaman cendawan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Cima Agro di talian 03-32600211 atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 019-3060847.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman blog www.cima-agro.blogspot.com.

No comments: